Sekat pengaruh besar Harakah, 'pengakuan kalah' pusingan pertama BN

Tidak mampu berhadapan dengan pengaruh besar akhbar Harakah yang berperanan mengubah minda rakyat terhadap perjuangan Pakatan Rakyat selama ini dilihat sebagai punca tindakan menggantung permit Harakah selama tiga bulan berkuatkuasa serta-merta semalam.

Tindakan ini secara tidak langsung merupakan 'pengakuan kalah' kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai media arus perdana seperti TV1, TV2, radio, akhbar dan stesen televisyen swasta tetapi tidak mampu untuk memulihkan imej BN dan Umno yang semakin buruk di mata rakyat yang senantiasa mendapat maklumat tepat dan benar daripada akhbar pembangkang.

Demikian ditegaskan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar kepada Harakahdaily sebentar tadi berhubung tindakan penggantungan permit tersebut.

"Ia adalah usaha untuk menyekat pendedahan maklumat berhubung situasi politik yang bercelaru dalam negara khususnya membabitkan parti yang 'bergelumang' rasuah seperti Umno termasuk pemilihan parti dan pemimpinnya.

"Mereka berusaha menutup maklumat tentang politik gawat Umno yang akan memberi kesan kepada pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai," katanya.

Selain itu kata Mahfuz, ianya bertujuan untuk menonjolkan 'kejaguhan' Menterinya Dato' Seri Syed Hamid Albar supaya dilihat mampu menyekat kemaraan pembangkang dengan mencantas media alternatif yang sedia ada kerana beliau mahu meraih sokongan untuk bertanding sebagai calon Naib Presiden Umno dalam pemilihan di perhimpunan parti itu.

Walau apa jua tindakan defensif Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan parti pemerintah, ia sama sekali tidak akan dapat memulihkan imej dan wajah Umno yang sudah terpalit dengan gejala rasuah yang parah dan kepimipinan yang bobrok.

"Jika ikut peruntukan yang sedia ada, KDN mesti memanggil Harakah dan bersedia mendengar penjelasan malah jika tidak puas hati atau Harakah tersilap lapor atau mana-mana pemimpin Umno rasa terjejas, mereka boleh ambil tindakan undang-undang sepert lazim yang dilakukan.

"Jelas tindakan ini akan memburukkan lagi imej BN-Umno di mata masyarakat dan juga antarabangsa yang tidak mendukung aspirasi dan melaksanakan amalan demokrasi dalam negara," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Rakyat katanya, sudah pasti tidak berdiam diri apabila maklumat dan laporan tidak sampai kepada mereka dan akan beralih kepada internet seperti Harakahdaily.net, laman-laman web pembangkang dan blog-blog.

"Apatah lagi kini kita bertembung dengan Umno dan BN di padang yang tidak sama rata apabila sumber media kita telah dicantas dan 'senjata' kita telah dilumpuhkan maka akan membangkitkan lagi kemarahan orang ramai yang mahukan maklumat yang sebenarnya.

"PAS akan berusaha yang terbaik untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat dengan mengedarkan risalah, buletin-buletin tidak berkala dan akan memantapkan lagi Harakahdaily.net dan berharap agar semua blogger dan laman-laman web alternatif akan terus menyokong dan membantu kempen kita," katanya.

Harakah
24/03/09

No comments: