KeADILan terus perkukuhkan Pakatan Rakyat - Anwar


KOTA BHARU: Parti Keadilan Rakyat akan terus memperkukuhkan hubungan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat biar pun terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan.

Ketua umum parti itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak dalam Pakatan Rakyat mahu memperkasakan pakatan tersebut supaya bertambah mantap.

"Soal isu kerajaan perpaduan telah dibincangkan sebelum ini bersama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Dato' Harun Din.

"Mesyuarat yang diadakan lebih menumpukan soal kesepakatan dan perpaduan dalam Pakatan," katanya ketika ditemui selepas mengunjungi Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini, kelmarin.

Beliau yang juga ketua pembangkang di parlimen berkata, perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) hanya lebih tertumpu krisis di Perak, di mana kerajaan Pakatan bercadang bertemu Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak menyelesaikan isu berkenaan.

"Ia bertujuan untuk mengemukakan pandangan bagi penyelesaian krisis di Perak dengan cadangan diadakan pilihan raya semula. Jadi pertemuan dengan pemimpin BN tidak lebih daripada rangka itu," ujarnya.

Anwar juga berkata, pertemuan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bagi membincangkan gerak kerja bersama menghadapi pilihan raya kecil Dun Manek Urai.

Katanya, Pakatan Rakyat tetap memberikan sokongan padu kepada calon PAS sebagaimana semangat setia kawan yang ditunjukkan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

"PAS khususnya Tuan Guru Nik Aziz sendiri sering datang berkempen dalam pilihan raya yang diwakili calon KeADILan termasuk di Permatang Pauh," ujarnya.

Ketika diminta mengulas dakwaan yang mengatakan beliau sebagai punca perpecahan orang Melayu khususnya selepas penubuhan parti KeADIlan pada 1998 katanya, perpecahan di kalangan orang Melayu sudah lama berlaku.

Menurutnya dakwaan yang mengatakan perpecahan berlaku disebabkan kemelut politik 1998?tidak lebih sebagai satu pembohongan.
Harakah
23/06/09

No comments: