Oleh yang demikian, UMNO kini dalam dilemma yang paling serius dalam riwayat hidupnya. Nak berkawan dengan PERKASA, komponen BN marah. Nak menentang PERKASA, Mahathir dan penyokong UMNO yang ultra Melayu pula marah. Oleh yang demikian, selagi UMNO gagal untuk "repackaging" baru, maka saya tidak dapat lihat bagaimana UMNO-BN akan pulih, dan saya meramalkan UMNO-BN akan hancur. Saya juga tidak menolak kemungkinan parti komponen BN atau sebahagaian daripada parti komponen BN bertukar khemah dan menjadi ahli PR.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan rasa terima kasih yang teramat sangat kepada Jawatankuasa Kerja Sahabat Suaram (FOS) negeri Johor, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) atas jemputan dan memberi peluang kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) membincangkan dan membicarakan isu yang cukup menarik dan panas ini.
Topik "Menentang Pemerintahan Fasis (Kuku Besi), Kuburkan Rejim UMNO" adalah satu topik yang sungguh straight forward dan penganjur mengariskan persoalan yang cukup tajam dan tidak berbelit belit. Persoalan di hadapan kita adalah persoalan yang nyata dan factual.
Kita hari ini berdepan dengan satu zaman yang penuh menarik. Politik Malaysia yang untuk beberapa dekad ini yang lesu dan tenang, tiba-tiba bergelora dan dinamik. Tsunami politik 2008 membawa bersama perubahan tetapi masih tidak berjaya menumpaskan rejim pemerintah yang memerintah sejak kemerdekaan. Ini adalah zaman transisi iaitu zaman perantaraan antara dua rejim. Persoalan adalah: Adakah rejim lama UMNO-BN akan terkubur atau sebaliknya? Adakah ia dapat memperkukuhkan diri dan kembali memerintah dengan mandat baru?
Dan saya (S. Arutchelvan, gambar kanan) juga harus memberi tahniah kepada penganjur kerana berani mengadakan satu forum untuk membincangkan penguburan UMNO dan program ini pula diadakan di kubu UMNO yang paling kuat, iaitu di Johor, tempat lahirnya Onn Jaafar - pengasas UMNO.
Kalau kita berani berucap mengenai penguburan UMNO di Negeri Johor, maka boleh dikatakan harapan menguburkan UMNO memang cerah sekali. Ada pandangan bahawa Johor akan merupakan negeri yang paling akhir sekali yang akan tumbang. Semasa penaklukan Inggeris ke atas Tanah Melayu, Johor menjadi negeri terakhir untuk akur kepada kehendak British, semasa penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu, Johor sekali lagi menjadi negeri terakhir ditakluki memandangkan Jepun masuk dari Utara. Dan hari ini, tidaklah mustahil untuk meramal Johor mungkin menjadi negeri terakhir untuk UMNO pula tumbang. Justeru itu, forum ini diadakan di Johor ini sungguh signifikan dan mempunyai ada kepentingan politiknya.
Persoalan di hadapan kita:
Penganjur telah bertanyakan tiga soalan yang cukup relevan, iaitu -
1) Adakah kerajaan BN yang diterajui oleh Najib adalah sebuah regim fasis atau menuju ke arah fasis?
2) Apakah pula pendirian yang harus rakyat pelbagai kaum pegang terhadap regim tersebut?
3) "Di manakah jalan keluar Rakyat jelata dibawah pemerintahan regim fasis?"
Persoalan ini cukup tajam dan jitu. Namun saya hendak menambah dua lagi soalan yang ada kaitan dengan tiga soalan di atas, dan dua soalan ini adalah persoalan yang paling pokok untuk zaman transisi ini:
1. Adakah rejim UMNO-BN akan tumpas?
2. Adakah mereka akan hilang kuasa secara aman dan senyap atau mereka akan lawan sehingga akhir?
UMNO Akan Tumbang!
Ya, untuk soalan pertama, saya sesungguhnya percaya bahawa rejim UMNO-BN akan tumpas dan hilang kuasa. Hujah ini berlandaskan kepada realiti hukum alam dan saintifik. Mana-mana satu pemerintahan dan sistem tidak boleh memerintah sehingga akhir atau secara kekal. Perubahan pasti berlaku dari dalam (pereputan struktur dalaman) dan ditambah dengan tuntutan perubahan dari luar, pastinya UMNO tidak dapat bertahan lama.
Ahli Falsafah Hegel akan mengariskan ini sebagai hukum dialetiks iaitu pertembungan antara Tesis dan Anti-thesis. Hari ini kita dapat melihat bahawa UMNO-Barisan Nasional semakin lemah dan semakin hari menghitung hari penguburannya. UMNO-BN sudah hilang momentum politik, di mana pada satu masa kedudukan mereka seperti tidak boleh digoyang langsung, tetapi kini keadaan mereka semakin goyang.
Pada tahun 1969, Parti Perikatan menghadapi nasib yang sama, tetapi mereka berjaya hidup semula dengan "repackaging" baru dengan nama Barisan Nasional. BN wujud setelah peristiwa berdarah 13 Mei, darurat dan penahanan beramai-ramai di bawah ISA. BN hidup semula dengan bergabung dengan parti pembangkang pada masa itu, termasuk Parti GERAKAN, PAS dan PPP, dan ini telah memberikannya nafas baru kepada hegemoni UMNO untuk terus kekal dan memerintah selepas itu.
Kini BN menghadapi zaman kehancurannya sekali lagi. Adakah UMNO BN akan cuba "repackaging" balik, dan siapakah yang akan tampil ke depan untuk menyelamatkan mereka? Dua cadangan "repackaging" telah dikemukakan, iaitu: satu, menjadikan BN satu parti pelbagai kaum (multiracial) diusulkan oleh PPP selepas Tsunami 2008 dan mendapat sokongan beberapa parti komponen BN termasuk Parti Gerakan, tetapi tidak direstui oleh UMNO. Najib mahukan 1Malaysia tetapi tidak mahu 1Parti pelbagai kaum.
Kemudian adalah cubaan "repackaging" atas nama perpaduan Melayu dan Islam dengan kerjasama dengan PAS. Di sini kita dapat lihat bagaimana media arus perdana diguna habis-habisan untuk membuat khawin paksa antara UMNO-PAS dan ini memang telah mengugat foundation(asas) Pakatan rakyat (PR). Kalau bukan pendirian tegas diambil oleh beberapa pemimpim termasuk Tok Guru, kemungkinan UMNO dan BN akan dapat nafas baru. Tetapi cubaan itu gagal. Dan cubaan pengabungan UMNO-PAS, bukan sahaja ditentang oleh DAP dan PKR, tetapi ia turut ditentang oleh komponen parti BN yang lain seperti MCA, Gerakan, MIC dan sebagainya. PAS pula telah membuat perhimpunan Parti tergempar untuk memberikan komitmen ia masih bersama PR.
Oleh yang demikian, UMNO kini dalam dilemma yang paling serius dalam riwayat hidupnya. Nak berkawan dengan PERKASA, komponen BN marah. Nak menentang PERKASA, Mahathir dan penyokong UMNO yang ultra Melayu pula marah. Oleh yang demikian, selagi UMNO gagal untuk "repackaging" baru, maka saya tidak dapat lihat bagaimana UMNO-BN akan pulih, dan saya meramalkan UMNO-BN akan hancur. Saya juga tidak menolak kemungkinan parti komponen BN atau sebahagaian daripada parti komponen BN bertukar khemah dan menjadi ahli PR.
Dalam suasana kita menanti penguburan UMNO, kita jangan lupa bahawa MCA sudah mengatasi krisis kepimpinan, dan Samy Vellu akan bersara dari MIC. Adakah reformasi dalam MIC dan MCA dapat menyelamatkan BN dan UMNO sendiri? Saya kurang yakin memandangkan rakyat Malaysia semakin muak dengan politik lama MCA dan MIC.
Namun adalah baik kita tidak meremehkan usaha yang dibuat oleh BN untuk kembali mendapat keyakinan rakyat. Namun demikian, jika PR gagal ke Putrajaya, saya merasakan pihak yang harus disalahkan adalah PR sendiri yang gagal mengambil kesempatan yang ada. Saya melihat musuh paling besar dalam PR ke arah menuju Putrajaya bukanlah sekadar UMNO-BN, tetapi ia juga adalah bagaimana PR mengurus diri mereka sendiri?
Adakah UMNO akan lawan untuk kekalkan kuasa atau menyerahkan kuasa dengan aman?
Soalan yang kedua adalah: Adakah UMNO akan hilang kuasa secara aman dan senyap, atau mereka akan lawan sehingga akhir untuk terus berkuasa? Ini merupakan soalan yang jauh lebih susah untuk dijawab.
Jawapan untuk soalan ini bukan sahaja bergantung kepada kelemahana BN tetapi juga bergantung kepada kekuatan PR. Ajaran daripada semua revolusi dunia yang berjaya dari revolusi agung kaum pekerja di Russia, kepada revolusi Cina, revolusi Cuba, Revolusi Iran termasuk juga Peoples Power (EDSA) di Filipina dan Gerakan reformasi di Indonesia menunjukkan bahawa apabila kuasa rakyat atau kuasa revolusi cukup kuat dan menyeluruh, maka tentangan yang paling minima dan pertumpahan darah yang paling minima akan berlaku. Ini adalah keadaan di mana arus perubahan yang melanda terlalu besar dan momentum yang cukup gergasi sehingga mereka yang hendak menentang akan akur sahaja dan undur tanpa tentangan (walkover).
Untuk suasana sebegitu, PR mesti menjadi gerakan yang dapat lebih kurang 65 -70% sokongan rakyat. Suasana ini belum wujud dan jauh daripada wujud buat masa kini. Keputusan pilihanraya beberapa pilihanraya lalu terkini menunjukkan bahawa UMNO masih mendapat sokongan orang Melayu, manakala sokongan orang India sedikit sudah kembali ke pangkuan BN, dan nampaknya hanya Kaum Cina yang cukup bersedia untuk menguburkan rejim lama.
Faktor kedua yang kita harus ambil tahu adalah faktor samada UMNO itu berwajah facisme atau menuju fasisme. Fasisme merupakan ideologi politik yang mempunyai beberapa ciri, antaranya ialah ia mempromosi satu bentuk nasionalisme yang ultra - yang meletakkan kepentingan negara lebih penting daripada kepentingan individu atau masyarakat. Fasisme mementingkan perpaduan antara masyarakat bangsa yang sama. Dalam situasi ini adalah perpaduan Melayu dan ideologi ini juga meliputi unsur-unsur nasionalisme, ketenteraan, korporatisme, totalitarianisme, antikomunisme dan antiliberalisme. Pengasah ideologi fasisme biasa dikaitkan dengan bekas pemimpin Itali, Benito Mussolini.
Adakah Najib menuju pemerintahan Fasis?
Justeru itu, kalau kita petik tujuh ciri fasis yang disimpulkan oleh ahli akedemik politik Laurence W Britt, dan kesimpulan Dzulkarnain yang terdapat dalam kertas yang disediakan oleh penganjur, maka tidak sah lagi ciri-ciri seperti - mempromosikan semangat kebangsaan atau patriotisme yang menjurus kepada perkauman; sokong pertubuhan perkauman seperti PERKASA; kebencian terhadap nilai dan hak asasi manusia; pencabulan hak asasi manusia; pengawalan ketat media massa; penyalahgunaan institusi keselamatan Negara; dan pelaksana undang-undang iaitu agensi penguatkuasa dan kehakiman disalahgunakan; kepentingan kroni dan koporat dilindungi secara rapi; dan subsidi diteruskan kepada syarikat kroni; gejala kronisme dan rasuah berleluasa; pemberian kontrak dibuat tanpa ketelusan; dan akhirnya penipuan terancang dalam sistem pilihan raya.
Jika ini bermakna menuju fasisme maka tiada soalan lagi kecuali menyimpulkan bahawa Najib menuju kepada fasisme. Kerana semua ciri-ciri ini dilaksanakan pada masa ini.
Namun demikian, suasana zaman Benito Mussolini jauh berbeza berbanding dengan zaman Najib Razak. Najib berada dalam zaman ekonomi global kapitalisma di mana syarikat-syarikat MNC lebih kuat dari negara-negara berdaulat. Oleh yang demikian - fasisme akan membawa kepada keadaan iklim perniagaan yang tidak selesa. Ini akan ditentang oleh puak peniaga kecuali jika Najib dan UMNO dapat mengimbangi suasana kuku besi dengan syurga pernigaan kepada kaum kapitalis.
Mungkin Najib boleh belajar dari Singapura beberapa tips. Oleh yang demikian adalah satu halangan untuk Najib. Sejauh manakah sistem kapitalis itu sendiri mahu menyokong Najib, atau mereka mahu mencari pengganti dalam bentuk PR? Inilah berlaku di Indonesia apabila kaum peniaga merasakan peniagaan lebih baik di bawah pembangkang daripada di bawah Suharto.
Isu kedua: Sistem maklumat merupakan senjata yang paling berkesan hari ini. Marx pernah berkata bahawa teknologi yang dibawa oleh kaum borjuis boleh digunakan balik terhadap golongan mereka sendiri. Dalam suasana berbincangan kita hari ini, informasi maklumat tidak lagi menjadi monopoli BN dan parti pemerintah. Oleh yang demikian, keadaan maklumat yang penting dapat disalurkan. Keadaan berbeza pada zaman dahulu dimana informasi dan maklumat menjadi monopoli satu golongan sahaja.
Faktor ketiga yang saya rasa cukup penting adalah sejauh mana PAS akan termakan umpan UMNO. Hari ini saya ingin mengangkat topi nak tabik kepada PAS kerana sejak kebelakangan ini, PAS telah berkelakuan dengan penuh tanggungjawab dan penuh matang. Dulu semasa saya baca Harakah Bahasa Melayu dan kertas Harakah bahasa Inggeris yang ada di dalamnya, saya dapati Harakah Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mempunyai bau politik yang berbeza. Satu untuk tarik orang Islam Melayu dan satu lagi untuk tarik orang bukan Melayu. Namun demikian, kebelakangan ini saya melihat bahawa kenyataan-kenyataan pemimpin PAS dan juga tulisan-tulisan pemimpin PAS cukup konsisten sekali, baik dalam Harakah bahasa Melayu mahupun Harakah bahasa Inggeris.
UMNO telah mencuba banyak isu-isu perpaduan Melayu, isu Ahli Parlimen Serdang yang masuk surau bagi bantuan, isu Kalimah Allah, isu penukaran agama dan isu pembakaran gereja. Dalam semua ujian ini, PAS telah meperlihatkan satu imej yang cukup baik dan matang. PAS tidak menari dengan nada dan muzik UMNO lagi. Pendirian PAS semakin konsisten dan semakin dapat diterima oleh majoriti rakyat yang berbilang kaum.
Dulu setiap kali, isu Melayu dan Islam dipermainkan oleh UMNO, PAS terus mengambil satu posisi bersama UMNO dan ini dengan senangnya memecahkan perpaduan di kalangan pembangkang terutamanya dengan DAP. Tapi PAS hari ini berbeza dan mungkin dengan slogan PAS UNTUK SEMUA dan membolehkan orang bukan Islam menjadi ahli bersekutu PAS, maka PAS hari ini tidak lagi dapat memainkan peranannya sebagai kumpulan radikal atau fundamentalism Islam. PAS harus tegas dan berani memperjuangkan konsep ini demi perpaduan pembangkang dan PR.
Selagi PAS di landasan yang tidak terjerat dengan umpan UMNO, selagi itu UMNO susah untuk memecahbelahkan perjuangan rakyat. Saya juga ingin menegaskan perpaduan kaum dapat kita kekalkan hari ini, sebahagian besar adalah berpunca daripada sifat dan sikap PAS yang tidak memainkan sentiment kaum dan agama untuk sekadar popular sahaja.
Apakah harus dibuat ?
Untuk menguburkan hegemoni UMNO-BN dalam politik Malaysia, maka saya menyarankan empat pendekatan, iaitu peta jalan ke Putrajaya.
30/10/10
No comments:
Post a Comment