Interlok: NIAT buat laporan polis ke atas Muhyiddin, lima lain

December 03, 2011

KUALA LUMPUR, 3 Dis — Susulan gesaan selama 10 bulan tidak menemui hasil diharapkan, Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) hari ini membuat laporan polis terhadap enam pihak termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran berhubung kontroversi penggunaan novel itu sebagai teks sastera tingkatan lima.

Laporan dibuat di ibu pejabat polis Dang Wangi mendakwa enam pihak yang dinamakan telah menyalah guna kuasa mereka dan mengelirukan orang ramai dengan memberi maklumat tidak tepat.

Setiausaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia, S Barathidasan berkata, laporan itu turut membabitkan presiden tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) MIC, MCA dan Gerakan serta Dewan Bahasa dan Pustaka dan anggota panel yang mengkaji semula kandungan novel berkenaan.

Hadir sama membuat laporan polis ialah Pengerusi NIAT Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim. Persatuan itu merupakan salah satu pertubuhan bukan kerajaan menganggotai NIAT.

“Aduan ini dibuat kerana mereka terlibat secara langsung dalam memberi maklumat palsu mengenai Interlok kepada rakyat Malaysia bahawa versi baru Interlok adalah bersih,” katanya.

Bagaimanapun katanya, novel itu masih memperlekehkan kaum-kaum di Malaysia dan tidak sesuai untuk digunakan di sekolah.

“Timbalan Perdana Menteri telah mengelirukan negara dan juga Parlimen. Kami mahu polis menyiasat salah guna kuasa oleh Timbalan Perdana Menteri dan pihak-pihak lain,” katanya lagi.

Awal bulan ini, NIAT menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong agar campur tangan membolehkan novel Interlok yang kontroversi ditarik balik daripada silibus sekolah.

Novel itu, yang baru-baru ini diterbitkan dalam versi baru, digunakan di sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan, Selangor dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun salah seorang anggota panel kajian itu awal minggu ini mendakwa versi baru ada pindaan tetapi tidak semurni yang diharapkan.

NIAT memulakan kempen menggesa Putrajaya agar menarik balik penggunaan novel Interlok sejak awal tahun ini walaupun Kabinet memutuskan ia akan terus digunakan dengan dibuat beberapa pindaan.

Akhir Januari lalu, Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, mengumumkan Interlok hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedarkan ke sekolah.

Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi kontrovesri kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India pada kandungan muka surat 211 dan 220.

No comments: