"Kita tidak akan pernah berhenti menyuarakan kebenaran dan keadilan, menuntut hak yang selama ini dikekang,” kata Rohayu Rusli.
Kuala Lumpur: Mahasiswa hari ini telah melakar sejarah baru dalam kamus gerakan mahasiswa, apabila mereka bangkit mendesak kerajaan agar memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Mereka berarak dari Masjid Jamek ke Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di sini petang semalam, demikian menurut satu kenyataan media.
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bersama Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) bergerak dengan membawa sepanduk, “Mahasiswa Bukan Robot”, “Mansuhkan AUKU”, “Bebaskan Mahasiswa Berpartisan dalam Politik” serta menyatakan enam tuntutan Bebas.
Laungan keramat penuh bersemangat daripada hampir 1,000 mahasiswa, “Student Power!”, “Mahasiswa Sayang Malaysia!”, dan “Mansuhkan AUKU” diselangi dengan ucapan daripada wakil-wakil front mahasiswa telah bergema sepanjang jalan di ibu kota Kuala Lumpur.
Pengerusi SIGMA GAMIS, Rohayu Rusli menjelaskan bahawa hari ini anak muda Malaysia mencipta sejarah apabila telah turun ke jalanan menyatakan pendirian hak bersuara serta prinsip bahawa mahasiswa mahasiswi dan anak muda Malaysia.
“Kita tidak akan pernah berhenti menyuarakan kebenaran dan keadilan, menuntut hak yang selama ini dikekang”.
“Hari ini(semalam) juga turut memperlihatkan bahawa partisipasi mahasiswi dalam himpunan, turut bersuara, turut hadir membarisi barisan anak muda, sejarah hari ini memberi amaran kepada pemerintah agar tidak bersenang lenang sedangkan rakyat dan mahasiswa dalam keperitan,” katanya.
AUKU akta zalim
Sementara itu, Presiden GAMIS, Akram Ikrami Taib Azamudden semasa berucap memberitahu hari ini menyaksikan satu himpunan dan perarakan laungan kebenaran memenuhi bandaraya Kuala Lumpur.
“Ini bukti bahawa mahasiswa cukup muak dan benci terhadap akta zalim yang kita tuntut untuk dimansuhkan.
GAMIS mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Bebas, Safwan Anang yang juga merupakan Timbalan Presiden GAMIS serta seluruh pimpinan front mahasiswa yang telah menggerakkan kekuatan ahli untuk turut sama ke lapangan rakyat menyatakan pendirian kebenaran,” katanya.
Setelah menyerahkan memorandum kepada wakil Suhakam, kumpulan mahasiswa kemudiannya bergerak ke PWTC untuk menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan.
Timbalan Menteri II Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sudi turun untuk menerima memorandum Bebas.
Beliau juga berkesempatan untuk menyampaikan pidatonya yang menyokong usaha mahasiswa menuntut kebebasan akademik.
“Tahniah mahasiswa! Saya akan bersama-sama kamu semua untuk perjuangkan isu ini.” ujar beliau.
No comments:
Post a Comment