Demonstran UMNO lempar kata kesat terhadap Ambiga

K Pragalath | May 24, 2012 
 
Dia pendajjal yang membela golongan murtad dan LGBT, dia penipu besar, kata Ketua Gerakan Belia 1Malaysia Shahrul Nasrun Kamaruddin.
KUALA LUMPUR: Sekumpulan 100 ahli Gerakan Belia 1Malaysia berarak di hadapan rumah Pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk S Ambiga petang tadi dengan membuat pelbagai tuduhan dan melempar kata-kata kesat terhadap beliau.
“Dia pendajjal yang membela golongan murtad dan LGBT (Golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender). Malaysia tak perlu LGBT,” laung ketuanya Shahrul Nasrun Kamaruddin di hadapan rumah Ambiga di Bukit Damansara petang tadi.
“Kerajaan sudahpun menjawab segala dakwaan Ambiga (berhubung pilihan raya yang kotor). Dia penipu besar,” tegasnya dengan nada marah.
Justeru itu beliau mendesak Ambiga memohon maaf sekiranya beliau pemimpin sebenar.
Pihak polis kemudian membenarkan Shahrul dan empat ahlinya menyerahkan memorandum yang diterima Sasterawan Negara A Samad Said, yang juga pengerusi bersama Bersih.
Memorandum tersebut mengandungi 10 sebab mengapa Ambiga patut dihalau dari Malaysia, iaitu:
  • Pengkhianat yang harus dibersihkan
  • Penghasut rakyat Malaysia supaya melanggar perintah mahkamah
  • Pencetus keganasan demonstrasi jalanan
  • Penjenayah yang engkar perintah Mahkamah Tinggi
  • Penipu yang putar belit fakta SPR
  • Penjajah yang bekerjasama dengan negara asing
  • Pendajjal umat Islam
  • Pembelot negara
  • Pemusnah masa depan anak cucu
  • Pengancam utama keselamatan rakyat Malaysia

No comments: