Apakah sebabnya Umno menyuburkan budaya kurang ajar di kalangan orang
Melayu? Tidak cukup dengan menjerit-jerit serta memaki hamun dengan
kata-kata kesat, membuat kecoh dan menayangkan punggung (punggung) ke
arah rumah Datuk Ambiga Sreenevasan di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Lebih memalukan, ada kalangan askar-askar pencen (bekas perajurit)
yang menayangkan punggung mereka itu sudah berusia dan ada yang memakai
ketayap. Bersenam dalam keadaan menonggeng, menghalakan punggung ke arah
rumah Ambiga.
Mereka berbuat demikian kerana mendakwa, Ambiga termasuk dalam
golongan anti-Islam, anti-Melayu. Lebih teruk lagi mereka mengecam
Ambiga kerana mendukung perjuangan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual and
Transgender).
Kita harus punyai pendirian yang jelas. Kita tidak menyokong Ambiga
dalam semua perkara. Kita menyokong perjuangannya di dalam Bersih yang
mahukan sistem demokrasi dalam negara dirombak dan diperbaiki.
Namun, sejahat manapun Ambiga seperti yang digambarkan media Umno-BN,
tidak harus sama sekali Umno, yang mendakwa ia mempunyai ahli berbangsa
Melayu dan beragama Islam yang terbesar dalam negara membiarkan
individu seperti Ambiga menerima balasan sedemikian rupa.
Menyerang dan memberi tekanan kerana orang yang dibenci Umno,
khususnya kebencian yang dipupuk menerusi media Utusan Malaysia, Berita
Harian, NST, The Star, TV3, RTM dan Astro, adalah sesuatu yang tidak
wajar.
Ambiga bukan Islam. Kita tidak boleh menyekat orang kafir yang
berpegang dengan fahaman mereka, kecuali mereka menyerang dan menghina
Islam secara terang-terangan. Kecuali jika mereka melakukan perkara yang
bertentangan dengan Perlembagaan negara.
Itu Ambiga yang bukan Islam, didakwa menyokong LGBT. Tetapi bagaimana
dengan orang Islam yang menyokong LGBT? Datuk Marina Mahathir misalnya.
Ada laporan menyatakan, beliau dipetik sebagai berkata:
“For the struggle, ask me. I have been defending the LGBT community’s rights for over 20 years now.”
Dengan kata-kata ini, apakah kumpulan NGO yang pro-Umno sedia untuk
menayang punggung mereka di hadapan rumah Marina Mahathir yang turut
sama menyertai Bersih 3.0 dan juga mendukung perjuangan LGBT?
Apakah kumpulan NGO pro Umno ini dibenar membuka gerai jualan burger
di hadapan rumah Marina? Atau pun mereka mengumpulkan beberapa kerat
juak fanatik yang bengong berkumpul sambil menjilat ais krim? Atau ada
sekelompok yang melakukan senamrobik sambil mengibas-gibaskan punggung
macam keldai?
Marina bukan calang-calang orang. Anak bekas Presiden yang paling
lama dalam Umno. Bapa dia pun masih hidup lagi. Tidak henti-henti
menyerang PAS, KeADILan dan DAP. Menyerang Bersih 3.0 dan sebagainya.
Tetapi anak bekas Presiden Umno, sudah berbeza pandangan dengan bapanya
dalam hal-hal tertentu.
Mengapa tidak golongan yang berhimpun di hadapan rumah Ambiga, beralih ke rumah Dr Mahathir Mohamad.
Kita hendak tengok apa respon Dr Mahathir jika perlakuan terhadap Ambiga diulangi di hadapan Marina.
Penulis sekadar melontarkan hipotesis. Siapapun Ambiga, siapapun
Marina, kita tidak harus sesekali membenarkan mereka menerima ancaman
sedemikian rupa.
Perbuatan yang tidak bermoral seperti mereka ini, tidak seharus-harus
kita izinkan walau atas apa sebab sekalipun. Pertama kerana ia
bertentangan dengan akhlak Islam; Kedua, ianya bukan budaya orang-orang
Melayu.
Orang Melayu, orang Islam di Malaysia ada budaya dan adat istiadat yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.
Justeru, jangan sesekali seseorang individu tersebut dimusuhi, maka
diberikan segenap ruang untuk masyarakat fanatik yang rasis melakukan
serangan berbentuk fizikal terhadap mana-mana pihak.
Sebelum ini, kita dapat menyaksikan, bagaimana sekelompok NGO yang
mendukung perjuangan Umno, melakukan provokasi yang amat-amat jijik
serta tidak bermoral terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Tidak cukup dengan ancaman hendak memukul beliau secara peribadi,
diupah orang menghantar keranda, dihantar kek berupa najis, dikalungkan
gambar seperti orang mati terhadap beliau.
Tidakkah ini merupakan perbuatan yang sangat kurang ajar? Apa bangsa
pun, sama ada Melayu, Cina, India, Sikh, mahupun golongan mamak di Pulau
Pinang, mereka harus memaksikan kehidupan mereka dengan nilai-nilai
moral yang amat tinggi.
Supaya, suatu hari nanti, masyarakat dunia akan memandang tinggi tatasusila dan kesopanan seluruh bangsa Malaysia.
Malangnya yang wujud hari ini, akibat kebencian politik yang dipupuk
menerusi media Umno-BN, kesopanan bangsa itu sudah tidak wujud. Bangsa
sudah bertukar menjadi bangsat. Golongan bangsat politik, demi untuk
mempertahankan kuasa, menyuburkan perlakukan yang amat jijik.
Mana fatwa Mufti Tan Sri Harussani Zakaria? Mana fatwa Ustaz Fathul
Bari Mat Jaya terhadap perlakukan sebegini? Apakah perlakukan mereka ini
sah dari sisi Islam Umno?
Apakah Islam menggalak ancaman sedemikian dilakukan ke atas Ambiga dan Guan Eng?
Apakah dengan menunjukkan punggung di hadapan rumah orang kafir
seperti Ambiga, dianggap suatu jihad mereka mereka memperjuangkan Islam
yang menyanggahi LGBT?
Keluarkanlah fatwa sebagaimana cabulnya mulut mufti dan ulama Umno mengecam PAS, pagi petang siang dan malam.
Beritahu kepada kami, apakah dengan menayangkan punggung di hadapan rumah orang kafir itu, suatu jihad baru cara Umno?
No comments:
Post a Comment