Oleh Najwan Halimi
Saya dibesarkan dalam persekitaran
Melayu yang kuat. Sejak dari kecil, orang-orang tua dalam keluarga
sering memomokkan saya akan bahaya yang dibawa oleh bangsa Cina dan
India.
Kata mereka, Cina ini kaum pendatang
yang suka menipu dan mahu merampas hak orang Melayu. India pula bangsa
yang kuat mabuk, suka mencari gaduh dan melakukan jenayah. Untuk
mendukung teori celaka ini maka minda Melayu saya disogok dengan satu
kisah puaka yang terjadi empat dekad yang lalu.
(i) Teori celaka – Cina penipu dan India
suka cari gaduh – ini terbawa-bawa sehingga ke alam persekolahan rendah
menerusi pergaulan saya yang hanya terbatas dalam kelompok anak-anak
Melayu sahaja. Saya tidak berkawan dengan murid-murid bukan Melayu dan
sering memandang curiga terhadap apa saja yang mereka lakukan.
Sewaktu darjah lima, seorang teman
sekelas (budak Melayu yang saya lupa namanya) membuka kisah 13 Mei.
Katanya, ini cerita benar yang didengar dari datuk dan bapa saudara yang
(didakwanya) terlibat secara langsung dalam peristiwa tersebut. Saya
jadi tertarik dan bertanya lanjut.
Maka dikatakan bahawa waktu itu
orang-orang Cina bertindak biadap dan kurang ajar kerana menghina dan
mencerca orang-orang Melayu. Orang Cina mengutuk hak istimewa Melayu dan
merendah-rendahkan bahasa Melayu. Kerana merasakan bahawa maruah bangsa
telah dicabar, orang-orang Melayu mengangkat senjata dan mengamuk
dengan menyerang dan membunuh orang-orang Cina yang celupar itu.
Orang Cina bertindakbalas dan turut
bertindak agresif. Maka saat itu parang, kayu, keris dan segala macam
senjata melayang ke udara, cerita teman saya itu. Tambah beliau lagi
(entah betul atau tidak), datuknya juga turut ditetak di dada oleh
seorang Cina namun langsung tidak cedera kerana memiliki ilmu kebal yang
menyebabkan badannya tidak lut senjata. Saya kagum dan teruja dengan
cerita teman saya tadi.
Kemelayuan saya semakin jitu dan teori
celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – kini saya yakini
sepenuhnya. Melayu itu hebat, pantang dicabar. Kalau dicabar, nahas!
Di rumah, saya bertanyakan bapa tentang
13 Mei. Kata beliau, waktu itu dia masih kecil dan tidak tahu menahu
kerana peristiwa itu hanya berlaku di Kuala Lumpur sedangkan beliau
menetap di Pahang. Tiba-tiba, bapa saya bercerita tentang Tun Razak,
Dasar Ekonomi Baru dan UMNO.
Sekali lagi, teori celaka – Cina penipu
dan India suka cari gaduh – bergema dalam minda saya. Ya, saya Melayu.
Saya bangga jadi Melayu!
Hidup Melayu!
(ii) Sewaktu bersekolah menengah, saya
sekelas dengan ramai pelajar berbangsa Cina. Kesan daripada puaka 13 Mei
ini, saya kekok dan sukar bergaul dengan pelajar-pelajar lain yang
bukan berbangsa Melayu. Saya hanya senyap dan menyendiri di dalam kelas
sehinggalah saya ditegur oleh seorang anak Cina yang fasih berbahasa
Melayu.
Budak Cina ini bernama Tan Chien Liang.
Dia anak orang kaya yang dihantar dan dijemput setiap hari oleh pemandu
keluarganya. Ya, bapanya ahli perniagaan dan memiliki rumah banglo yang
mewah.
Mulanya saya prejudis dan gemuruh dengan
budak Tan ini. Puaka 13 Mei dan teori celaka – Cina penipu dan India
suka cari gaduh – masih lagi bersarang dalam benak Melayu saya. Namun
demikian, lama kelamaan saya mulai senang dengan Tan. Dia baik dan tidak
menipu. Setiap kali saya terlupa membawa wang belanja, dia akan
meminjamkan wangnya untuk saya beli makanan di kantin. Dia juga tidak
akan beri jawapan kepada saya setiap kali saya cuba menirunya waktu
peperiksaan. Tidak baik katanya.
Kami bersahabat. Macam belangkas, kata
pelajar-pelajar lain. Dan saya semakin terlupa akan teori celaka – Cina
penipu dan India suka cari gaduh – yang sering dimomokkan oleh
orang-orang tua dalam keluarga saya. Saya senang dengan Tan. Dia fasih
bercakap Melayu. Dia suka makanan Melayu. Dan dia juga menaruh cinta
pada gadis Melayu!
Suatu hari, Tan bertanyakan saya tentang
Islam. Dia mahu saya mengajarkannya perihal Islam. Katanya, dia suka
berkawan dengan saya sebab saya baik. Sebab dia nampak orang Islam baik.
Saya terpinga. Namun saya bersetuju.
Maka saya pun mula belajar dan pada masa
sama mengajar Tan tentang Islam. Saya kaji Al-Quran, saya baca hadith.
Oh, rupanya semua manusia ini bersaudara. Semua manusia ini berasal dari
Adam. Melayu, Cina dan India rupanya manusia bersaudara. Cuma faktor
sejarah, geografi dan budaya yang membezakan mereka. Hakikatnya –
menurut pembacaan saya itu – semua manusia bersaudara.
Tiba-tiba teori celaka – Cina penipu dan
India suka cari gaduh – cuba menyerang kesedaran yang baru terbina. Ada
bisikan puaka yang mengingatkan saya tentang 13 Mei. Tentang kebiadapan
Cina terhadap Melayu. Tentang kehebatan Melayu yang tak lut senjata.
Tentang keris. Tentang Hang Tuah. Bisikan puaka ini menyuruh saya
menafikan kenyataan bahawa manusia itu bersaudara dan sememangnya Cina
penipu dan India suka cari gaduh.
Ah, tak mungkin! Tan baik orangnya. Dia
tidak pernah menipu saya. Dia jujur sewaktu jawab peperiksaan dan dia
mahu belajar tentang Islam. Dia suka berkawan dengan saya sebab saya
juga baik kepadanya.
Dan bisikan puaka 13 Mei serta teori
celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – mendiamkan diri.
Barangkali bengang kerana saya tidak melayani.
(iii) Di universiti, saya belajar
kejuruteraan. Sewaktu hari pertama kuliah – waktu sesi memperkenalkan
diri – seorang budak India bernama Ganesan dengan bangganya mengatakan
beliau seorang ateis.
Selepas kuliah, saya menghampiri Ganesan
dan bertanyakannya kenapa dia tidak meyakini Tuhan. Dia hanya tersenyum
sambil menyatakan bahawa dia sebenarnya masih dalam pencarian ke arah
kebenaran. Saya berjabat tangan dengannya dan kami ke kafé untuk minum.
Cukup mengejutkan kerana Ganesan juga fasih bertutur Melayu!
Ganesan, meski tidak percayakan Tuhan
merupakan seorang siswa yang pintar. Dia rajin dan tidak lokek berkongsi
pengetahuannya dengan saya. Dia juga tanpa silu selalu meminjamkan saya
tugasan kuliah untuk ditiru. Kata Ganesan, hidup ini mesti
tolong-menolong.
Setiap petang selepas kuliah, saya akan
melepak di kafé dan bertukar cerita dengan Ganesan. Kami akan berbual
pelbagai isu termasuk agama, politik, budaya dan sukan. Saya terharu
tatkala Ganesan menyatakan bahawa dia amat mengagumi adat dan kebudayaan
orang Melayu. Kata Ganesan, orang Melayu merupakan bangsa paling
budiman dan halus pekertinya. Ganesan juga meminta tolong saya untuk
memikat seorang siswi Melayu yang diminatinya.
Pengetahuan dan keprihatinan Ganesan
terhadap budaya dan adat Melayu mendorong saya untuk mendalami budaya
dan adat masyarakat India pula. Maka saya mengkaji dan menelaah
makalah-makalah sejarah tentang ketamadunan India silam. Agak menarik
kerana rupa-rupanya, pembinaan tamadun Melayu banyak dipengaruhi dan
berasal dari tamadun Hindu klasik dari India.
Saya teruja sebaik mengetahui bahawa
asal moyang orang-orang Melayu dahulunya menganut ajaran Hindu dan
bertutur dalam bahasa Melayu yang disaring dari perkataan-perkataan
Sanskrit. Parameswara, pengasas kesultanan Melayu Melaka juga asalnya
merupakan seorang Hindu sebelum diislamkan oleh saudagar Arab yang
berdagang di Melaka.
Keterujaan saya pada ketika itu sekali
lagi cuba digugat oleh bisikan puaka 13 Mei dan teori celaka – Cina
penipu dan India suka cari gaduh – namun ianya gagal lagi. Ungkapan
‘Ketuanan Melayu’ dan ‘Hidup Melayu’ dipandang sepi oleh jiwa saya yang
semakin mengerti hakikat kemanusiaan.
Ganesan dan saya kekal akrab. Meskipun
dia ateis dan saya aktivis gerakan mahasiswa Islam, rutin minum petang
di kafé selepas kuliah kekal diteruskan sehingga tamat pengajian.
(iv) Hari ini, puaka 13 Mei sudah tidak
mahu mendampingi saya lagi. Ianya telah jauh menghilangkan diri. Teori
celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – juga sudah tidak wujud
dalam kematangan intelektual saya.
Selepas 8 Mac 2008, percubaan sesetengah
pihak yang masih meyakini teori celaka – Cina penipu dan India suka
cari gaduh – untuk menghidupkan semula puaka 13 Mei jelas sekali gagal.
Manipulasi media untuk meracuni akal budi rakyat dengan menyemai
sentimen kebencian melalui ego perkauman sememangnya keji dan
menjengkelkan.
Saya bertuah kerana telah melalui
kerencaman pergaulan sejak dari alam persekolahan rendah sehingga ke
peringkat universiti dengan mengenali pelbagai bentuk karakter dan
individu tanpa mengira latar bangsa dan kepercayaan. Semakin saya cuba
untuk menegakkan ego kebangsaan dan keangkuhan ras, semakin terbentang
ruang dan kesempatan untuk saya mendekati kepelbagaian dan keindahan
multi-budaya.
Puaka 13 Mei dan pendekatan politik yang
berlandaskannya harus dibunuh terus oleh kita semua. Teori celaka yang
mewujudkan persepsi negatif terhadap ras-ras tertentu juga wajib
disingkirkan daripada terus melatari keharmonian dan kelangsungan hidup
warga negara ini.
Malaysia ini milik semua. Milik saya, Tan, Ganesan dan anak-anak cucu kami yang bakal mewarisinya nanti.
No comments:
Post a Comment