Puisi ‘Janji Bersih’: Pak Samad diarah oleh Polis beri keterangan

Jamilah Kamarudin | September 5, 2012
Seorang pegawai polis datang ke rumahnya di Bangsar pada jam 3.00 petang tadi mengarahkan supaya beliau hadir ke balai jam 6.00 petang ini.
PETALING JAYA: Sasterawan Negara Datuk A Samad Said hari ini diarah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan mengenai perhimpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos lalu.
Pak Samad yang didatangi pegawai polis ke rumahnya di Bangsar pada jam 3.00 petang tadi mengarahkan supaya beliau hadir ke balai jam 6.00 petang ini.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih Maria Chin Abdullah berkata, arahan itu dipercayai untuk menyiasat puisi ‘Janji Bersih’ yang dibaca Pak Samad pada malam tersebut.
“Pak Samad tidak sempat hadir ke balai pada hari ini kerana arahan dikeluarkan dalam masa singkat.
“Beliau dan peguam kini sedang berbincang supaya keterangan boleh ditangguhkan sehingga 3 petang esok,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pak Samad berkata tiada keterangan lanjut diberikan polis mengenai tujuan beliau diarahkan hadir ke balai polis
“Saya diarahkan supaya datang ke Dang Wangi. Itu sahaja,” katanya dalam sistem pesanan ringkas (sms).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya akan menyiasat penganjur himpunan tersebut sama ada wujud unsur tindakan yang melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 walaupun mengakui tiada kejadian tidak diingini berlaku pada malam itu.

No comments: