September 06, 2012 — Saya berharap Umno wajar memberhentikan pendustaan
kepada perjuangan orang Melayu dan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Umno telah melakukan pendustaan terhadap orang Melayu terlalu lama, tiga
puluh tahun lamanya. Umno telah mendustakan rakyat kerana apa yang
dijanjikan kepada rakyat khususnya orang Melayu sampai kehari ini tidak
terlaksana.
Orang-orang Melayu tertunggu-tunggu untuk melihat bangsanya
benar-benar maju seperti yang dijanjikan oleh Umno, khususnya apabila
pilihanraya mendatang. Umno juga telah mendustakan orang bukan Melayu
bagi memajukan orang Melayu supaya kestabilan politik negara dapat di
pertingkatkan. Orang bukan Melayu pun sudah kecewa melihat bangsa Melayu
di abaikan oleh partinya sendiri dalam kebingitan pemimpin-pemimpinnya
bercakap tentang isu memperjuangkan bangsa Melayu.
Setiap waktu tibanya pilihanraya kedengaran di sana-sini kononnya
Umno telah berjaya memperjuangkan nasib orang Melayu di samping
rakan-rakan kita dari bukan-Melayu. Melayu tidak kemana jua. Yang kita
dapat warisan yang besar dari kepimpinan Umno sejak tiga dekad yang lalu
ialah rasa curiga mencurigai di antara kaum-kaum semakin menebal.
Orang bukan Melayu khususnya kaum Cina memahami yang jika Melayu
tidak maju, kestabilan negara akan tergugat kerana orang Melayu
merupakan penduduk yang terbesar di negara ini. Orang Cina mahukan
sebuah negara yang stabil kerana mereka mengutamakan peluang untuk
berniaga dan jika orang Melayu tidak maju ia akan menjejaskan kestabilan
negara dan akan akhirnya memberikan masalah kepada bangsa itu untuk
berniaga dan hidup secara aman.
Semasa kepimpinan Umno bersusah payah menyatukan perhubungan kaum
yang telah terjejas disebabkan kejadian 13 Mei dahulu semua kaum telah
bersetuju untuk tidak bergaduh dan berpecah semata-mata untuk mencapai
matlamat yang satu: iaitu perpaduan nasional dan hidup dalam suasana
muhibbah, saling menghormati di antara satu dengan lain.
Perkara yang lebih membanggakan kita semasa itu rakyat bukan Melayu
telah menerima hakikat yang orang Melayu (Bumiputera) perlu dan wajib di
bantu dan di berikan keistimewaan kepada Bumiputera untuk maju dalam
bidang perdagangan dan perindustrian. Orang bukan Melayu telah bersetuju
penggubalan dasar-dasar untuk menambahkan pegangan kekayaan negara
untuk orang Melayu dan Bumiputera.
Persetujuan yang di capai itu tentulah hasil dari perundingan yang
serius oleh pemimpin-pemimpin yang terdahulu dari semua kaum dan
akhirnya menerima kenyataan yang kita seharusnya hidup dalam suasana
saling hormat menghormati di antara agama dan adat resam serta
kepercayaan masing-masing.
Kita sebelum itu telah menyempurnakan usaha kearah kemerdekaan negara
yang kita capai pada bulan Ogos 1957 dahulu. Wakil-wakil dari semua
kaum, Melayu, Cina dan India telah pergi berunding dengan penjajah
British untuk menuntut kemerdekaan dan mentadbir negara kita oleh kita
sendiri.
Dalam usaha pengisian kemerdekaan negara, Umno semasa itu mendapatkan
persetujuan semua pihak untuk melaksanakan dasar yang di persetujui
bersama iaitu DEB (Dasar Ekonomi Baru) dan ia telah terlaksana dengan
baik dan penuh dan membanggakan kita. Orang Melayu yang begitu miskin
semasa itu telah mula bernafas dalam ekonomi kerana pimpinan semasa itu
sangat prihatian dan mensyukuri kejayaan untuk penggubalan dasar yang
menjurus kepada penyusunan semula masyarakat berbilang kaum di negara
kita. Dasar-dasar yang di gubal semasa itu berlandaskan kepada premis
pembahagian kekayaan secara “equitable” sebagai resipi ampuh sebelum
kita mencapai matlamat yang “ultimate” iaitu perpaduan kaum dalam negara
kita.
Kejayaannya memberangsangkan. Bayangkan semasa DEB di lancarkan
pegangan kekayaan negara oleh orang Melayu dan Bumiputera hanyalah 2.7
peratus sahaja. Tetapi oleh kerana pimpinan kerajaan kita telah dengan
jujur melaksanakan dasar-dasar itu dengan sempurna pegangan Bumiputera
telah meningkat kepada 18.4 peratus dalam pertengahan 1984 dahulu.
Begitu banyak dan tinggi lonjakan pegangan Bumiputra dalam bidang
perdagangan dan perindustrian serta pegangan Bumiputera dalam bidang
industri dan “commerce” semasa itu. Resepi kejayaan itu ialah kejujuran
dan tidak lari dan menganjak serta mengalih dasar yang telah lama
difikirkan sebelum di gubal dan di laksanakan. Tetapi kejayaan itu telah
terhenti setakat itu.
Kenapa terhenti? Ianya terhenti apabila Dr Mahathir mengambilalih
kepimpinan negara dan beliau tidak menghiraukan DEB kerana beliau
mempunyai rancangan yang lain dan telah melalaikan dasar-dasar yang
telah terbukti menunjukkan kejayaan itu. Mahathir mahukan “legacy”
kejayaan pimpin-pimpinan sebelum itu tidak dipandang tinggi oleh rakyat.
Segala-galanya hendak dilakukan semasa pentadbiran beliau tanpa
menghiraukan pelan pembangunan negara dengan teratur.
Beliau mempunyai perancangan “ambitious” yang lain yang berjaya pada
pandangan mata kasar kita tetapi telah mengorbankan dasar-dasar yang
amat hampir dengan hati rakyat. Dari saat itu rakyat tidak lagi bersama
menentukan dasar serta perlaksanaannya. Rakyat hanya menerima dan
mendengar sahaja semua perancangan secara “ad hoc” dan tidak
berlandaskan kepada perancangan teliti.
Bersoraklah rakyat dengan pembangunan “express” anjuran Mahathir dan
akhirnya apabila beliau sudah tiada dalam kepimpinan maka kita lah yang
menerima bala dari perancangan peribadi seorang pemimpin seperti Dr
Mahathir itu.
Setelah kian lama barulah rakyat sedar apa yang dilakukan oleh Dr
Mahathir itu bersalah-salahan dengan kehendak sistem dan kaedah
pembangunan negara yang menuntut perancangan yang berlandaskan kepada
keperluan jangka panjang. Dalam kes negara kita pembangunan fisikal
seharusnya selari dengan pembangunan politik serta siasah yang boleh
membawa kepada perpaduan nasional yang berkekalan.
Rupa-rupanya pembangunan “express” yang terlaksana di zaman
pemerintahan Dr Mahathir itu ibarat apam yang tebal, masaknya cepat dan
diluar pun nampak masak. Tetapi apabila diambil lidi dan dicucuk apam
yang tebal itu, maka kedapatan yang lidi itu menjadi basah apabila di
cabut. Rupa-rupanya di sebelah dalam apam yang tebal itu masih mentah
dan berair.
Kerana mahukan apam cepat masak, Mahathir bakarnya itu dengan api
yang terlalu besar. Hasilnya diluar masak di dalam mentah. Itulah
sebabnya kalau kita hendak buat sesuatu kerja, kita buat “slow-slow”
sikit tapi tahan lama. Barulah sempurna.... masak di luar, masak di
dalam. — aspanaliasnet.blogspot.com
No comments:
Post a Comment