September 08, 2012
KUALA LUMPUR, 8 Sept — Warga Aman hari ini memberi amaran kepada
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) agar mengambil tindakan terhadap mereka
yang bertindak kencing gambar menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik
Mat dan ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam masa 48 jam
untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab, atau
mereka akan turun ke jalan raya.
Pengerusinya, Raja Ratnam Arumugam berkata, polis seharusnya adil
dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan perkara
sedemikian seperti yang dilakukan terhadap mereka yang menunjuk punggung
kepada gambar perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Polis seharusnya bekerja untuk rakyat, bukan untuk Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Kerajaan boleh bertukar, tapi polis tidak boleh ditukar," katanya lagi.
Menurut Raja Ratnam, mereka tidak menyokong tindakan yang dilakukan
oleh pelajar-pelajar yang menunjukkan punggung dan memijak gambar
perdana menteri, tetapi menuntut agar tindakan sama kepada mereka yang
memijak gambar pemimpin pembangkang.
"Perdana menteri juga telah menggunakan bahasa kesat seperti haram
jadah, apakah ini budi bahasa seorang pemimpin tertinggi negara?
"Mengapakah pihak polis tidak menangkap Najib sedangkan dia juga melaungkan kata-kata berunsur kesat?" kata Raja Ratnam lagi.
Sementara itu, Senator S. Ratmakrishnan berkata, mereka sudah turun
ke Bukit Aman sebulan yang lalu untuk membuat aduan terhadap kes ini,
tetapi tidak ada tindakan susulan dibuat.
"Polis dibayar gaji oleh rakyat, bukannya Umno dan BN.
"Jadi kami menuntut agar polis berlaku adil sebelum rakyat hilang
kepercayaan dengan polis," kata Ratmakrishnan dalam sidang media hari
ini.
Raja Ratnam mengetuai Warga Aman menghantar memorandum tersebut
kepada ASP Mohd Fouzi Halim, yang mewakili Pusat Kawalan Malaysia (MCC)
Bukit Aman.
Pihak polis baru-baru ini telah menubuhkan skuad khas untuk memburu
mereka yang menunjuk punggung kepada gambar perdana menteri semasa
himpunan Janji Demokrasi pada malam ambang merdeka yang lalu.
No comments:
Post a Comment