Syed Hamid jumpa pemimpin Hindraf di Kamunting (malay language)
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar mengadakan perjumpaan selama kira-kira 15 minit dengan tiga daripada lima pemimpin Barisan bertindak Hak Hindu (Hindraf) yang sedang ditahan di Kem Kamunting di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Beliau bertemu mereka sempena lawatannya ke kem tersebut pagi tadi untuk meninjau kemudahan yang disediakan untuk tahanan di situ.
Lima pemimpin HIndraf yang ditahan di situ ialah R. Kengadharan, 41; M. Manoharan, 46; V. Ganabatirau, 34; P. Uthayakumar, 46, dan K. Vasantha Kumar, 34.
Bagaimanapun, laporan Bernama tidak menyebutkan siapakah tiga pemimpin Hindraf yang ditemui Syed Hamid hari ini dan butir-butir lain mengenai pertemuan tersebut.
Mereka ditahan pada 13 Disember tahun lalu selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.
Kelima-lima mereka ditahan mengikut Seksyen 8(1) ISA atas arahan Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga perdana menteri.
Mereka dihantar terus ke Taiping untuk ditahan selama dua tahun, tanpa terlebih dahulu menjalani tempoh siasatan selama 60 hari.
Angkat sumpah
Kelima-lima mereka mendapat liputan meluas selepas menganjurkan perhimpunan yang dihadiri oleh 30,000 kaum India di ibunegara pada November lalu untuk membantah peminggiran kaum tersebut.
Pelbagai pihak termasuk parti-parti komponen Barisan Nasional seperti MIC, MCA dan Gerakan, turut menggesa kerajaan supaya membebaskan lima pemimpin Hindraf tersebut.
Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan mereka untuk dibebaskan daripada tahanan bawah ISA selepas Hakim Besar Malaya yang juga pengerusi panel hakim
Datuk Alauddin Mohd Sheriff berkata arahan penahanan yang dikeluarkan oleh menteri keselamatan dalam negeri pada 13 Disember tahun lalu adalah sah dan memenuhi semua keperluan di bawah ISA.
Seorang daripada mereka - Manoharan - bertanding dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu dan menang kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah.
Manoharan yang bertanding atas tiket DAP menang dengan majoriti 7,184 undi.
Beliau mendapat 12,699 undi untuk menewaskan calon BN-Gerakan, Ching Su Chen yang memperolehi 5,515 undi.
Manoharan mengangkat sebagai Adun pada 8 Mei lalu di Kem Tahanan Kamunting, di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim.
Malaysiakini
05/07/08
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment