43 MP Barisan Nasional sertai Pakatan Rakyat?

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi diramalkan semakin goyah menjelang 16 September 2008 ini.

Ahli-ahli Parlimen BN yang 'didakwa' akan menyertai kerajaan baru Pakatan Rakyat bukan lagi omong-omong kosong dan bakal menjadi kenyataan.

Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Terengganu, Fariz Musa yakin Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) dapat merealisasikan peralihan kerajaan sebagaimana yang ditetapkan.

Ini kerana, katanya dengan penyertaan semula Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim itu ke dalam Parlimen setelah 10 tahun dinafikan lebih menyakinkan Pakatan Rakyat.

"Kita (KeADILan) yakin akan dapat realisasikan rancangan peralihan kerajaan kepada Pakatan Rakyat dengan kemasukkan semula Dato' Seri Anwar ke dalam Parlimen sekarang.

"Kita juga lebih yakin dengan senario itu kerana daripada sumber-sumber tidak rasmi kini sudah ada seramai 43 Ahli Parlimen yang akan menyertai Pakatan Rakyat termasuk di kalangan MP Terengganu," jelasnya ketika dihubungi.

Menurutnya, desas-desus tanggal 16 September tersebut bukan lagi cakap-cakap kosong yang tidak berasas tetapi akan menjadi realiti.

Mengulas kejayaan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang berjaya memenangi pilihan raya kecil di Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti besar adalah kerana kehendak rakyat yang mahukan perubahan.

Katanya, kejayaan Anwar ke Parlimen dianggap sebagai satu isyarat bahawa perubahan bakal berlaku dan PKR akan terus berkembang dalam negara ini.

Awang Harun
Harakah Daily
03/09/08

No comments: