Umno wajib diharamkan, demikian kesimpulan yang boleh dibuat apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini mengharamkan Hindraf. Iklan
Apa kaitan Hindraf dengan Umno? Kenapa penulis berkata demikian, walhal berdasarkan keahlian, ibarat langit dengan bumi antara kedua-dua pertubuhan ini. Belum lagi, dasar perjuangan dan ideologi yang didukungi oleh Umno dan Hindraf.
Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar sebagaimana dilaporkan Bernama (sumber berita sahih) pada 15 Oktober lalu telah mengisytiharkan Hindu Rights Actions Force (Hindraf) adalah sebuah pertubuhan haram yang menyalahi undang-undang.
Menurutnya, pengisytiharan itu diwartakan berkuatkuasa hari tersebut setelah berpuas hati dengan segala fakta dan bukti bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak, katanya dalam satu kenyataan.
"Berdasarkan kuasa di bawah Sekyen 5(1) dan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), diisytiharkan Hindraf adalah sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang," katanya.
Beliau berkata perintah itu dibuat hasil pemantauan dan penyiasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri mengenai kegiatan-kegiatan pertubuhan tersebut yang telah dijalankan sejak mula ditubuhkan sehingga sekarang.
Hasil siasatan mendapati pertubuhan itu bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh memudaratkan ketenteraman awam, keamanan, keselamatan, ketertiban dan nilai-nilai moral di Malaysia.
Syed Hamid berkata sekiranya tidak dibendung, Hindraf akan terus mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara malah menjejaskan keharmonian hidup berbilang kaum.
"Tindakan pengharaman yang diambil bukannya berasaskan kepada satu atau dua kegiatan pertubuhan yang menyalahi peraturan dan undang-undang tetapi meliputi rentetan semua kegiatan dan aktiviti yang telah dilakukan sejak pertubuhan ini diwujudkan," katanya.
Apa kaitan Hindraf dan Umno?
Baiklah. Itulah kenyataan daripada seorang Menteri yang memikul tanggungjawab yang besar tetapi ternyata gagal dalam menunaikan amanah dengan adil dan saksama.
Kenapa penulis berkata demikian? Ingatkah kita pada tarikh; 23 Mac 2008? Apa pentingnya tarikh tersebut dengan soal haram atau halalnya Hindraf? Atau apa besarnya implikasi tarikh tersebut kepada Umno?
Bagi pandangan penulis, jika benar sepertimana yang disebut oleh Menteri KDN, Syed Hamid bahawa; "Berdasarkan kuasa di bawah Sekyen 5(1) dan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), diisytiharkan Hindraf adalah sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang",maka tarikh tersebut adalah asas untuk meletakkan Umno haram dan kini parti yang mendukungi kerajaan ini sedang beroperasi secara gelap.
Dan jika benar pula dakwaan Syed Hamid,"Hasil siasatan mendapati pertubuhan itu bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh memudaratkan ketenteraman awam, keamanan, keselamatan, ketertiban dan nilai-nilai moral di Malaysia...sekiranya tidak dibendung, Hindraf akan terus mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara malah menjejaskan keharmonian hidup berbilang kaum", maka wajarlah dan teramat nyata Umno tidak wajar lagi berdenyut di muka bumi ini.
Apakah relevan tarikh 23 Mac 2008 dengan Umno dan soal keharaman Hindraf?
Jika anda masih ingat, pada tarikh itulah,satu perhimpunan haram telah diadakan oleh ahli-ahli Umno di kediaman rasmi Menteri Besar Seri Iman, Terengganu dengan slogan kain rentang yang ditulis 'Kami Nak Idris, Natang' yang bermaksud 'Binatang' dengan tujuan menghina pihak istana dan Tuanku Sultan Mizan (YDP Agong).
Jadi persoalan mudah, yang boleh dijawap tanpa ada jawatan Menteri, Dato', Tan Sri, Dato' Seri hatta orang kampung yang tak 'pass' dari satu sekolah Melayu pun boleh diagak,iaitu;"Siapa lebih haram, lebih biadab dalam konteks pertubuhan."
Tidak haramkah Umno, kerana menganjurkan perhimpunan haram pada 23 Mac lalu?
Tidak haramkah Umno,kerana cuba mencetuskan kekacauan dan suasana tidak aman pada 23 Mac itu?
Tidak haramkah Umno, kerana cuba menghina pihak istana dengan slogan biadab pada tarikh itu?
Atau tidak haramkah juga Umno, kerana cuba menghasut rakyat untuk menentang pihak istana iaitu Tuanku Sultan (dalam erti kata lain, cuba melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong)?
Perhimpunan di Terengganu aman, Yang di-Pertuan Agong tidak terancam?
Apakah pihak KDN buta dan tuli? Apakah pihak polis tutup mata?
Cuba lihat apa jawapan pihak polis dalam isu tersebut seperti yang dipetik penulis melalui laman buletinonline:Menurut surat yang ditandatangani oleh Superitendan Khairi Ahrasa bagi pihak Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Terengganu, beliau sukacitanya memaklumkan siasatan berkenaan perkara tersebut telah selesai dijalankan.
Dalam surat yang ditujukan kepada Muhammad Fauzi Abu Samah, Khairi turut menyatakan pihak beliau menunggu arahan lanjut berkaitan pendakwaan apabila kertas siasatan terhadap kes tersebut telah dimajukan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Surat tersebut yang bernombor rujukan (PR) 35/26 bertarikh 16 September adalah respon pihak polis terhadap surat yang dihantar oleh Fauzi kepada pihak polis pada 11 September 2008.
Pada 26 Mac lalu sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) telah membuat satu laporan polis berhubung 'perhimpunan haram' para penyokong bekas Menteri Besar Dato? Seri Idris Jusoh.
Pengerusi MAMPAT Mohamad Fauzi Abu Samah, 36, berkata salah satu slogan kain rentang yang diangkat semasa perhimpunan haram tersebut telah menghina pihak Istana dan Tuanku Al-Sultan yang berbunyi 'Kami Nak Idris, Natang' yang bermaksud 'Binatang'.
Perhimpunan haram yang telah di ditayangkan kepada umum oleh beberapa buah stesyen tv utama adalah ekoran penentangan ahli-ahli Umno yang menyokong Idris terhadap pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal, Dato' Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.
Surat respon Polis Terengganu telah disiarkan dalam laman rasmi MAMPAT sejak 12 Oktober lalu
Nampaknya, agak lama dan berzaman polis nak siasat isu perhimpunan tersebut.
Kenapa KDN tidak bertindak? Kenapa Syed Hamid tidak bersuara dalam isu ini?
Mana satu lebih haram antara serbu rumah terbuka atau buat provokasi agar rakyat hina dan bencikan istana?
Apakah suasana perhimpunan di Terengganu ketika itu aman dan tidak mengancam keselamatan rakyat,negara malah Yang di-Pertuan Agong?
Jelas lagi tersuluh, isu pengharaman Hindraf distruktur dengan penuh konspirasi untuk menimbulkan rasa takut kepada rakyat terhadap pertubuhan tersebut.
Selain itu,ia seolah dirancang sebagai satu mesej kepada rakyat, bahawa bagaimana hebatnya kuasa di tangan Menteri dan kerajaan yang didukungi Umno.
Oleh itu, kepada pembaca semua, di manakah keadilan yang kita nantikan? Sampai bilakah kita akan terus dipermainkan dengan permainan kuasa politik rakus pemerintah masa kini?
Tiada gunanya, jika nakhoda kapal ditukar tetapi segala isi kapal dipenuhi dengan anai-anai yang makin mengunyah segala isinya dari hari ke hari.
Harakah
No comments:
Post a Comment