Fatwa boleh dicabar
JANGAN cabar fatwa. Itulah arahan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tanggal 10 Nov 2008. Menurut laporan Utusan Malaysia, arahan tersebut dikhususkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam, Katagender dan Food-not-Bombs, yang berdemonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang pengharaman pengkid 23 Okt lalu.
Malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, juga memberi amaran yang sama kepada "NGO bukan Islam" berkenaan pada 13 Nov. Pulak dah!
Laporan mutakhir untuk Zahid dan Musa — Katagender bukannya satu "NGO bukan Islam". Ia merupakan satu kolektif pelbagai kaum dan agama, termasuk lelaki dan wanita Islam. Dan bantahan terhadap fatwa ini bukan hanya timbul di kalangan orang bukan Islam. Ramai juga orang Islam yang mempersoalnya. Artikel saya sebelum ini juga merujuk kepada isu ini.
Tapi menurut Zahid lagi, tidak wajar untuk sesiapa "mempertikaikan sesuatu hukum berasaskan logik akal semata-mata untuk kepentingan liberalisme bagi kelompok tertentu."
Ini bukan satu pendapat yang baru, atau pendirian yang khusus kepada Zahid. Kira-kira tiga tahun yang lalu, presiden Angkatan Belia Islam Malaysia atau Abim, Yusri Mohamad, menggunakan hujah yang sama apabila beberapa kumpulan wanita membantah Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005.
Menurut laporan Utusan Malaysia, 12 Jan 2006, Yusri berkata, "[P]eruntukan yang ada dalam [Rang Undang-Undang Keluarga Islam] itu tidak seharusnya dibahas atau diperkatakan mengikut akal fikiran manusia kerana ia berasaskan hukum syarak."
Presiden Abim Yusri Mohamad Katanya lagi, "Kita juga perlu ingat tidak semua orang boleh bercakap mengenai hukum syarak kerana ia berasaskan Al-Quran dan hadis."
Masa saya Tingkatan Dua, ustaz saya juga pernah berpesan supaya jangan mempersoal hukum agama. Nanti jadi gila, katanya. Jadi saya pun berhenti mempersoal apa sahaja tentang agama Islam, sebab saya takut nanti saya jadi gila.
Namun, saya terus terbaca dan terdengar perkara-perkara berbau diskriminasi terhadap wanita, bukan Islam, dan golongan gay, lesbian dan mak nyah — tetapi bertopengkan "hukum" atau "fatwa". Inilah yang membuatkan saya hampir-hampir gila, bukannya soalan yang saya ada tentang firman Allah.
Menurut perintah
Tetapi, adakah perintah yang dikeluarkan oleh Zahid itu tepat? Benarkah di dalam Islam, orang Islam mahupun bukan Islam tidak boleh menggunakan akal dan logik untuk menilai sesuatu hukum?
Saya bukannya seorang ulama, tetapi saya merupakan seorang Muslim yang selalu mendapat ilham daripada kitab suci Al-Quran.
Allah berfirman dalam Surah Al-Jaathiyah, Ayat 5: "Dan [pada] pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga [pada] rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta [pada] peredaran angin, [semuanya itu mengandungi] tanda-tanda [yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, serta keluasan rahmatNya] bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran."
Bagi saya, jelas sekali Islam mementingkan penggunaan akal fikiran untuk menilai dunia dan kewujudan alam.
Tetapi besar kemungkinan pendirian saya akan diserang kerana saya tidak mempunyai tauliah sebagai seorang ulama. Jadi saya ambil satu contoh dari sejarah perkembangan Islam pada awal abad ke-20, yang diceritakan dengan lebih terperinci dalam Islam: A Short Introduction, oleh Abdulkader Tayob.
Pada masa itu, komuniti Islam di India sedang dilanda kekeliruan tentang peranan teknologi dalam amal ibadat. Sekitar masa ini, alat pembesar suara mula digunakan dalam pelbagai konteks di serata dunia. Masyarakat Islam di India tidak tahu sama ada alat pembesar suara boleh digunakan dalam konteks sembahyang berjemaah.
Dalam sembahyang berjemaah di masjid, imam akan berdiri di hadapan dan menerajui semua bacaan dan gerakan yang akan dituruti oleh jemaah yang lain. Apabila bilangan jemaah terlalu besar, saf di belakang mungkin tidak dapat melihat atau mendengar imam. Jadi, beberapa orang mukabbir akan menyelangi saf-saf pada jarak tertentu dan mengeluarkan laungan yang menjadi panduan kepada jemaah lain untuk mengikut pergerakan imam.
Tetapi pada tahun 1963, satu fatwa yang penting diterbitkan oleh Mufti Muhammad Shafie dari madrasah Darul Uloom, Deoband. Darul Uloom diasaskan pada tahun 1867, dan mempelopori ajaran mazhab Hanafi. Ia merupakan salah satu institusi dakwah Islam yang paling terkemuka di dunia. Malah, saya terbaca dalam majalah Off the Edge edisi November 2008 bahawa Mursyidul Am PAS sendiri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, telah melanjutkan pelajarannya di Deoband pada tahun 1950an.
Tapi kita berbincang tentang Mufti Shafie, bukan Nik Aziz. Shafie telah mengeluarkan satu fatwa yang mengharamkan penggunaan alat pembesar suara dalam solat berjemaah. Ini bukan calang-calang fatwa. Impaknya pun amat serius kerana walaupun golongan Islam merupakan minoriti di India, populasinya tetap gergasi jika dibandingkan dengan negara-negara lain.
Namun, beberapa tahun selepas itu, alat pembesar suara mula digunakan secara berleluasa untuk solat jemaah dalam masjid-masjid di Mekah dan Madinah, tanpa sebarang pengharaman oleh ulama Arab Saudi. Jadi, Mufti Shafie terpaksalah mengkaji semula fatwanya, dan akhirnya menterbalikkan pengharamannya terhadap penggunaan alat pembesar suara.
Kepentingan umum
Jadi, bagi sayalah sekurang-kurangnya, sesuatu fatwa itu penting untuk mencapai kesinambungan dalam penghayatan agama Islam. Akan tetapi, fatwa boleh berubah mengikut keadaan dan keperluan semasa. Malah, fatwa boleh dicabar dalam konteks tertentu. Dalam sejarah Islam, para alim ulama sering mengeluarkan pendapat tentang hukum-hakam, tetapi mereka amatlah merendah diri dalam hal ini.
Imam Shafie sendiri pernah berkata, "Pendapat saya adalah betul, namun kemungkinan bahawa saya salah tetap wujud." Dan pemikirannya telah menjadi asas kepada mazhab Shafie yang tersebar ke Asia Tenggara.
Ketika pemerintahan Abbasid, khalifah Mansur pernah cuba mempamerkan Muwatta oleh imam Malik di Kaabah, sebagai panduan kepada rakyat di seluruh empayar Islam. Malik tidak membenarkan Mansur berbuat demikian, dengan hujah bahawa umat Islam di kawasan yang berlainan mungkin mempunyai pandangan dan tafsirannya sendiri. Kata Malik, "Kepelbagaian pendapat itu adalah rezeki Allah kepada ummah."
Jadi, adakah perintah supaya orang awam tidak mencabar fatwa mengambilkira realiti sejarah tamadun Islam seperti ini? Zahid berkata bahawa pihaknya bersedia untuk menjelaskan fatwa pengharaman pengkid tersebut kepada pihak NGO. Malah, Zahid berkata bahawa Wilayah Persekutuan akan cuba mewartakan fatwa tersebut secepat mungkin.
Jika fatwa tersebut diwartakan, ia akan membawa kuasa undang-undang — mana-mana wanita yang dianggap memaparkan ciri-ciri pengkid akan dilihat sebagai penjenayah. Adakah ini dianggap sebagai contoh hikmah dan kebijaksanaan yang dibawa oleh Islam?
Saya sendiri bukannya mempersoalkan fatwa ini sekarang. Tetapi saya ingin tahu bagaimanakah pewartaan dan pelaksanaan fatwa ini akan menjamin keadilan dan kesaksamaan terhadap rakyat Malaysia?
Benar, kita tidak patut mempersendakan atau memperlekehkan mana-mana ajaran agama di Malaysia yang majmuk ini. Tetapi, bila sesuatu fatwa itu digunakan untuk membentuk dasar awam yang memberi kesan mendalam kepada kepentingan umum, kita semua berhak untuk melontarkan pendapat masing-masing secara terbuka.
source: The Nut Graph
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment