Polis Malaysia macam alat atau ketua cawangan Umno

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan polis menahan beberapa orang, termasuk, ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam yang berkumpul bagi membuat laporan polis beramai-ramai berhubung layanan perubatan terhadap tahanan ISA, P Uthayakumar.

“Manikavasagam tampil membuat laporan kepada polis berhubung kekecewaannya terhadap apa yang berlaku terhadap pemimpin Hindraf itu.

“Tidak perlu tangkap beliau. Kalau kata beliau mengganggu lalulintas, saya lihat demonstrasi Umno di Pulau Pinang, trafik dikawal di seluruh kawasan,” kata Anwar selepas menyampaikan ucapan khas “Amanat Harapan Rakyat” kepada wakil rakyat dan pemimpin PKR di Shah Alam petang ini.

“Hendak buat laporan untuk mempertahankan rakan mereka di Kemunting ditangkap. Jadi, nampak polis ini macam alat atau ketua cawangan Umno,” kata ketua pembangkang itu.

Pagi tadi, polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan kira-kira 300 orang yang berhimpun di luar ibu pejabat polis Brickfields untuk membuat laporan polis beramai-ramai berhubung layanan perubatan Uthayakumar.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dilaporkan berkata, selain Manikavasagam, polis menahan 17 orang lagi.

Sementara itu, berucap di hadapan kira-kira 300 hadirin, beliau berkata, “PKR akan menyerang habis-habisan” dalam tiga pilihanraya kecil yang akan datang – Bukit Gantang, Perak; Bukit Selambau, Kedah dan Batang Ai di Sarawak.

Pilihanraya kecil

Anwar juga dilihat cuba mengambil hati pengundi Sarawak dengan berkata akan mengambil berat isu tanah adat yang disifatkannya sebagai “bukan isu Sarawak, tetapi isu nasional”.

Beliau juga yakin, penangguhan kenaikan harga tol yang diumumkan kerajaan semalam dan kaitan dengan pilihanrya kecil yang bakal berlangsung April ini.

“Lepas pilihanraya kecil Batang Ai, percayalah tol akan naik semula macam (harga) minyak naik mendadak selepas (pilihanraya umum) 8 Mac dahulu,” katanya.

Menyentuh soal memantapkan jentera parti bagi menghadapi pilihanraya, Anwar menegur sikap ahli partinya yang mengambil kesempatan terhadap kemenangan besar Pakatan dalam pilihanraya umum lalu dengan meminta jawatan pangkat dan jawatan.

Selain itu, menyentuh krisis perlembagaan di Perak, Anwar mengakui Pakatan “berada di persimpangan jalan”.

Katanya, isu raja-raja Melayu “perlu ditangani dengan sikap serhana, berhikmah tetapi tegas”.

“Dalam konteks ini, tiga sikap terhadap raja perlu dibentangkan: Pertama, sikap Hang Tuah yang setia membuta tuli; Kedua, sikap Hang Jebat yang menderhaka dan menumpahkan darah rakyat yang tidak berdosa. Di antara keduanya adalah Bendahara Paduka Raja, yang setia lagi bijaksana.”

malaysiakini
01/03/09

No comments: