Apakah Wibawa Badan Kehakiman Kita Makin Parah?

KETUA Hakim Negara, Zaki Tun Azmin telah meminta para hakim berusaha memulihakn keyakinan umum pelabur asing terhadap badan kehakiman negara ini dengan menyiarkan keputusan penghakiman di laman web badan berkenaan. Dengan cara itu pelabur luar dapat meneliti dan mengkaji sejauh wibawa penghakiman mengenai sesutau kes dalam negara ini.

Kenapa Zaki membuat gesaan itu? Jawabnya mudah, kerana sistem kehakiman kita masih lagi tidak diyakini oleh pelabur asing. Kesan daripada ini menyebabkan pelabur asing takut untuk datang berdagang di negara ini.

Sebenarnya masalah atau persoalan ini timbul sejak lama dulu. Sejak lebih 10 tahun lepas. Pelabur asing hilang kepercayaan umum kepada intergriti badan kehakiman negara apabila melihat kepada perjalanan perbicaraan, pendakwaan dan keputusan berhung kes melibatkan bekas TPM, Anwar Ibrahim serta beberapa kes berprofil tinggi yang lain.

Kerana itu para pelabur yang ingin melabur di negara ini, mereka mahu membuat perjanjian di Singapura atau di negara asal mereka kerana tidak yakin dengan ketelusan dan sistem kehakiman negara ini. Tindakan dan persepsi pelabur itu menjatuhkan maruah negara kita yang merdeka dan bertamadun.

Sekiranya aspek lain dipertikaikan tidak menjadi masalah. Tetapi apabila sistem kehakiman dipersoalkan ia menjadi masalah besar. Kerana lazimnya penghormatan dunia luar ke atas sesebuah negara itu meliputi tiga aspek; kestabilan politik, keamanan dan sistem kehakiman yang berwibawa.

Pertikaian kepada sistem kehakiman ini bermula sewaktu krisis kehakiman pada tahun 1987 peristiwa pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas di era Mahathir Mohamad dan ia melarat pada tahun 1998 sewaktu kes melibatkan Anwar Ibrahim.

Masalah ini sudah lama ditimbulkan oleh pihak pembangkang, Mjalis Peguam dan NGO lain dan meminta kerajaan mengatasi segera masalah ini. Namun kerajaan mengambil tidak kisah saja. Hari ini apabila ia ditimbulkan oleh Ketua Hakim Negara ini bermakna krisis kepercayaan kehakiman semakin parah.

Berbalik kepaa saranan Zaki tadi ia sepatutnya bukan saja setakat menyiarkan keputusan penghakiman yang adil dan penting tetapi apa juga yang perlu dilakukan usaha membebaskan para hakim daripada dinaungai mana-mana kuasa atau suara ghaib sewaktu membuat keputusan.

Selagi hakim tidak merasa benar-benar bebas dan keputusan mereka dipandu maka selama itu intergriti kehakiman akan dipersoalkan. Kerana sudah tentu kongkongan ke atas hakim ia akan menyebabkan berlakunya ketidakadilan dalam membuat keputusan.

Sehubungan itu para hakim juga harus memerdekakan diri mereka. Mereka tidak perlu merasa takut, hormat ataupun mengenangkan kepada mana-mana pihak sewaktu menjalankan tanggungjawab itu.

Hari ini timbul persepsi hanya mahkamah Sesyen saja dianggap sebagai bebas kerana hakim-hakimnya tidak dikuasai oleh mana-mana kuasa ghaib. Tetapi apabila sampai ke mahkamah tinggi dan seterusnya, hakim dikatakan sebagai tidak bebas lagi kerana mereka terpaksa membuat keputusan dengan terlebih dahulu melihat kepada pedoman atau arah angin yang bertiup.

Tanggapan ini diharap tidak benar, tetapi inilah berlaku dan menjadi omelan. Persepsi inilah yang perlu diselesaikan sekiranya kita mahu melihat martabat institusi kehakiman negara ini dihormati dan tidak dipertikaikan.

Mengimpikan kebebasan demi kebenaran dan keadilan bukan saja terhadap badan kehakiman tetapi parlimen juga perlu bebas. Pengendali parlimen iaitu Yang Dipertua Dewan hendaklah adil dan saksama dalam menjalankan tugas mereka. Yang DiPertua janganlah terlalu memihak kepada pihak kerajaan. Budibicara haruslah digunakan dengan benar dan adil.

Yang Dieprtua Dewan hendaklah bersikap seperti hakim yang bebas. Beliau perlu membebaskan diri daripada rasa hormat, makan budi dan mengenang jasa orang. Selagi Yang Dipertua masih merasakan kerusi itu adalah ehsan pihak-pihak tertentu maka selama itulah keadilan dan perjalanan parlimen akan dilihat tempang.

Perisitwa penggantung ahli parlimen Puchong, Govind Singh Deo selama 12 bulan tentu menjadi kayu ukur sejauh mana kebebasan parlimen Malaysia. Dunia luar akan melihat tindakan ke atas ahli Parlimen Puchong itu. Govind digantung disebabkan dia dianggap cuba menjatuhkan imej TPM, Mohd Najib Razak dengan mengaitkan dengan pembunuhan Altantuya.

Walaupun Govind tidak sepatutnya bertindak begitu namun penggantungan itu dikira melampau dan Parlimen seakan cuba mengekang suara rakyat. Govind sudahpun dihalau keluar oleh Timbalan Yang Dipertuan, Ronald Kiandee disebabkan keceluprannya itu, dikira tindakan itu sudah cukup. Kita menghormati ketegasan Yang Dipertua dalam menjalankan tugas tetapi biarlah ketegasan itu betul.

Apabila parlimen menggantung Govind atas dasar untuk dijadikan penganjaran ia dikira sudah melampau. Ada unsur-unsur penggunaan kuasa parlimen untuk menyekat suara rakyat. Harus diingat apa juga perkataan, kata-kata yang ditimbulkan oleh ahli-ahli Parlimen ia adalah suara rakyat.

Jadi sebelum masyarakat dan pelabur hilang kepercayaan kepada Parlimen adalah elok kalau Yang Dipertua bertindak penuh keadilan dan bersikap demokratik.

No comments: