Jika Umno bela Melayu kenapa perangi Kelantan ???

NOTA EDITOR: Selama lebih 21 tahun Kelantan disiksa dan ditindas. Itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa UMNO parti anti Melayu.

Tulang Besi nampak, artikel di bawah sudah cukup untuk membuktikan sifat talam dua muka UMNO dan mengapa kita tidak boleh percaya dengan agenda UMNO.

Selamat membaca.Jika Umno bela Melayu kenapa perangi Kelantan

Hazayani Zakaria
SHAH ALAM, 19 Feb:
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan serangan mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tindakan terdesak parti itu yang bimbang dengan pengaruh PAS terhadap rakyat.

Beliau mempersoal tindakan pemimpin Umno menyelar PAS yang berpakat dengan DAP demi kepentingan politik, sedangkan Umno sendiri memusuhi PAS sejak dahulu lagi.

'Riak-riak kemenangan (PAS) sudah hampir tiba, justeru mereka (Umno BN) perhebatkan serangan melalui pelbagai cara.

"Kita dituduh berpakat dengan DAP hanya untuk menang pilihan raya. Soalnya PAS sudah dimusuhi sejak sekian lama oleh Umno, sebelum PAS berpakat dengan DAP dan PKR lagi.

"Umno berusaha menjatuhkan PAS di Kelantan sejak hari pertama saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar lagi," kata beliau ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa-Jaminan PAS, di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Menurut Nik Aziz juga, tiada salahnya jika PAS bermatlamat untuk memenangi pilihan raya kerana Umno BN sendiri dilihat menggunakan pelbagai cara untuk matlamat yang sama.

"Saya juga dituduh hanya ingin menang pilihan raya. Jika demikian apa salahnya menang pilihan raya?

“Bahkan Umno sendiri guna pelbagai cara tidak kira halal atau haram untuk menang pilihan raya," katanya di hadapan hampir 500 hadirin.

Tambah beliau lagi, Umno ternyata gagal membela nasib majoriti Melayu di negara ini apabila mereka sendiri yang menggagalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Umno jaga Islam pun tidak, jaga Melayu jauh sekali. Ini dapat dibuktikan dengan fakta yang didedahkan bahawa tanah rezab Melayu di seluruh negara susut daripada 3 juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar pada tahun 1990. Apakah ini satu pembelaan Umno terhadap orang Melayu?

"Dasar DEB digagalkan pemimpin Umno sendiri dan hanya mengkayakan kroni mereka sahaja," katanya.

Menteri Besar Kelantan itu juga mempersoal tindakan Umno BN yang mendakwa mereka pembela Melayu yang sejak dari dahulu lagi memusuhi Kelantan sedangkan majoriti rakyat Kelantan ialah orang Melayu.

"Jika benar Umno membela Melayu, untuk apa kami di Kelantan diperangi sedangkan majoriti pemimpin dan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam? soalnya.

Ujarnya lagi, PAS sebagai sebuah parti yang mencontohi pemerintahan Rasulullah SAW wujud bukan untuk memperjuangkan nasib Melayu sahaja, tetapi tidak sama sekali mengenepikan Melayu.

"Jika Rasulullah S.A.W. diutuskan ke dunia tidak dengan misi ketuanan Arab, begitu jugalah dengan PAS yang mencontohi Rasulullah, datang bukan dengan agenda memperjuangkan Melayu, tetapi tidak sesekali mengenepikan Melayu kerana Melayu bangsa domninan di negara ini.

"Namun PAS sering dtuduh mengenepikan Melayu dan seolah-olah orang Melayu akan mati tanpa Umno. Inilah yang sering ditanam dalam pemikiran rakyat," katanya.

Sementara itu, konvensyen hari ini diteruskan dengan pembentangan kertas kerja sehingga jam 5 petang ini.

No comments: