(Selangor Kini) - Perhimpunan Bersih 2.0 tetap akan diteruskan pada 9 Julai dalam keadaan aman dan keselamatan pesertanya terjamin, kata Presiden gerakan itu Datuk Ambiga Sreenevasan.
Ambiga memberi jaminan itu setelah menemui Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar di Bukit Aman untuk memaklumkan persedianan yang dibuat oleh jawatankuasa penganjur bersabit perhimpunan aman itu.
Polis sebelum ini mengisthiarkan Bersih sebagai perhimpunan haram dan sudah menahan kira-kira 100 orang kerana memakai atau mengedar kemeja T dengan logo Bersih serta risalah perhimpunan aman itu.
Kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) mendakwa perhimpunan aman itu bertujuan mengguling kerajaan menerusi demostrasi jalanan, yang dinafikan oleh Ambiga dan Pakatan Rakyat.
Ambiga berkata pihaknya bersedia berjumpa dengan Polis untuk menetapkan laluan sesuai yang untuk digunakan oleh peserta Bersih yang tidak akan menggangu lalu lintas serta menjamin keselamatan mereka.
“Pihak kami mencadangkan untuk mendapatkan kebenaran polis tentunya satu lokasi berhimpun secara aman, laluan yang dicadangkan ialah Taman Jaya ke Kuala Lumpur,” kata beliau kepada pemberita.
Ambiga berkata Tan Sri ismail bagaimanapun tidak memberikan kata putus mengenai cadangan-cadangan penganjur Bersih. Satu lagi mesyuarat antara kedua-dua pihak bakal diadakan.
“Kami akan menyediakan 5000 sukarelawan pada hari itu, dan 100 doktor sukarela dan peguam yang akan sama-sama turut serta bagi menjamin keselamatan sekiranya berlaku apa-apa,” tambah beliau.
No comments:
Post a Comment