Hak rakyat untuk berhimpun – Suhakam

FMT Staff | June 27, 2011

Perkara itu termaktub di dalam perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengulangi pendiriannya ke atas perhimpunan Bersih, Pemuda Umno mahupun Perkasa yang akan diadakan serentak pada 9 Julai ini, sebagai hak orang ramai untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman.

Menurut Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam, perkara itu termaktub di dalam perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Suhakam mengulangi syor-syor yang telah dikemukakan sebelum ini kepada kerajaan untuk menghormati kebebasan berhimpun seperti yang terkandung dalam, antara lain laporan tahunannya kepada Parlimen serta permintaan bagi pemansuhan Subseksyen (2), (2A) hingga (2D), (4), (4A), (5), (5A) – (5C), (7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967.

Suhakam juga mengesyorkan agar pihak polis menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ia perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan dijalankan.

“Maka Suhakam menyeru agar pihak berkuasa untuk membenarkan perhimpunan aman itu diadakan.

“Dan kepada pihak-pihak lain yang merancang perhimpunan berkenaan agar melaksanakan hak mereka dalam keadaan terancang dan penuh tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Suhakam juga akan memantau perhimpunan itu dengan sewajarnya.

Semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram Bersih jika ia benar-benar didapati menggugat keselamatan awam dan negara.

Beliau bagaimanapun berkata, penggunaan akta tersebut buat masa ini masih belum diperlukan memandangkan pemantauan terhadap matlamat sebenar perhimpunan itu sedang dilakukan pihak berkuasa.

No comments: