Para pemimpin Pakatan Rakyat menyampaikan ucapan di depan lebih 400 peserta Bersih.
KUALA LUMPUR: Para pemimpin Pakatan Rakyat yang tiba di hadapan persimpangan Jalan Stadium, berhampiran Stadium Merdeka di sini telah menyampaikan ucapan berkisar kepada topik “menentang kerajaan korup” dan “baiki sistem pilihan raya” kira-kira jam 3.45 petang.
Mereka ialah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman; Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Jerejak, Sim Tze Tzin dan Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Haris Ibrahim.
Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan di kawasan ini. Keadaan masih terkawal. Sebelum itu, kira-kira 400 penyokong Bersih membanjiri persimpangan Jalan Stadium. Mereka membuat provokasi menayangkan baju T kuning Bersih dan melaungkan “Daulat Tuanku!” dan “Hidup Bersih”.
Polis sudah mengeluarkan arahan bersurai yang pertama.
“Bersurai sekarang atau kami menggunakan kekerasan!” FRU sudah mengeluarkan arahan bersurai kedua namun penyokong tetap enggan berganjak walau selangkah.
Sebelum itu, tanpa menghiraukan hujan lebat, penyokong Bersih 2.0 sudah mula membanjiri Jalan Petaling dan Jalan Maharajalela, menghampiri Jalan Stadium kira-kira pukul 2.25 petang.
Sementara polis dan FRU pula diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di Jalan Stadium.
FRU lari lintang pukang
Hujan lebat menyebabkan polis dan FRU lari lintang-pukang mencari tempat berteduh dan meninggalkan kawasan jagaan dihadapan Jalan Stadium.
Pada jam 1.30 tengahari tadi, polis mula mengetatkan kawalan dipersimpangan Jalan Maharajalela-Jalan Stadium dengan berkubu dan meletakkan pagar dawai berduri.
Mereka diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga kerana mendapat khabar terdapat kumpulan penyokong Bersih 2.0 yang sedang mara dari arah Jalan Petaling.
Manakala unit Pasukan Polis Simpanan (FRU) sudah bersedia didalam trak dihadapan Balai Polis Tun H.S.Lee.
Disebabkan Stadium Merdeka dikawal ketat polis dari Jalan Merdeka dan Jalan Maharajalela, orang awam dipercayai penyokong Bersih 2.0 mula berlegar dan berkumpul disepanjang Jalan Petaling disini.
Setakat ini 15 peguam pemerhati dari Majlis Peguam berjaya mohon daftar masuk ke Jalan Stadium daripada polis.
Setakat jam 11.15 pagi tadi, keadaan di sekitar Stadium Merdeka di sini kelihatan terkawal. Polis dilihat melakukan sekatan jalan raya dipersimpangan Jalan Maharajalela dan Jalan Stadium.
Manakala kira-kira 30 anggota polis dan tentera beserta trak kelihatan berlegar dan bersiap sedia diluar pintu masuk stadium.
Sementara diruang udara stadium pula kelihatan helikopter polis berlegar setiap lima minit.
No comments:
Post a Comment