Apabila ditanya apakah bilangan orang Melayu yang hadir perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai itu tidak membimbangkan UMNO, Zaharin (gambar kanan) lantas menjawab bahawa peserta perhimpunan itu sememangnya "hard-core" PAS, dan itu perkara "normal". Apa yang penting, Melayu yang berada di atas pagar telah kembali ke UMNO berikutan perhimpunan BERSIH 2.0, kerana tidak yakin dengan PAS dan PKR, yang sanggup bersama Ambiga Sreenevasan.
Hujah Zaharin selari dengan kenyataan pimpinan UMNO sebelum ini. Ini perhimpunan anti-kerajaan, yang mahu menggulingkan kerajaan melalui huru-hara yang dicetuskan, seperti di Mesir. Alasannya, tiada sepanduk menuntut sistem pilihan raya yang adil dalam kelompok manusia pada hari itu. Malah untuk Zaharin, peserta demonstrasi lawan balik apabila FRU menyuraikan mereka - tanda perhimpunan "tidak aman". "Kalau perhimpunan aman, kamu tak lawan balik," katanya kepada MerdekaReview.
Malah, Zaharin menganggap BERSIH 2.0 gagal meraih sokongan Cina, meskipun wartawan membangkitkan bahawa bilangan peserta kaum Cina dan India lebih ramai daripada perhimpunan BERSIH pada tahun 2007. Zaharin mendakwa dirinya mempunyai ramai sahabat Cina dari bidang korporat, dan beliau yakin mereka faham, bahawa Cina akan dimangsakan apabila Melayu bergaduh.
Zaharin menjelaskan, jikalau Malayu bergaduh dengan Cina, kerajaan hanya perlu mengasingkan mereka untuk mententeramkan keadaan. Namun demikian, apabila Melayu bergaduh dengan Melayu, pihak yang ekstrem sama ada dari kumpulan Melayu A atau kumpulan Melayu B akan memangsakan Cina, dan inilah yang ditakuti orang Cina.
"DAP tak ada penyokong, mereka hanya ada simpati dari kaum Cina," sebelum beliau menambah, "Apa yang berlaku pada 8 Mac 2008 adalah simpati Cina terhadap DAP". Sebelum mengakhiri wawancara melalui telefon ini, Zaharin menegaskan bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 telah menguatkan UMNO.
UMNO bermimpi untuk kembali ke titik asal
Retorik ini seiring dengan apa yang diketengahkan di dalam Utusan Malaysia. Bacaannya tidak jauh berbeza, sebelum dan selepas perhimpunan BERSIH 2.0, meskipun wartawan menjangkakan sedikit kelainan sebelum dan selepas 9 Julai 2011.
"Enggan berubah," demikianlah ungkapannya apabila Dzulkefly Ahmad gambar kanan), ahli parlimen Kuala Selangor menyifatkan UMNO.
"Realitinya, lanskap politik telah berubah. Tetapi kerajaan UMNO-BN masih mimpi untuk kembali ke titik asal, di mana mereka boleh mengecapi kekuasaan tanpa kekangan, tanpa penentangan, tidak disemak-imbang. Mereka panik, semacam tidak tahu untuk mengendalikan politik baru," kata Dzulkefly Ahmad, yang berulang-kali menekankan bahawa sesiapa yang mampu mengendalikan perubahan, menangani tuntutan politik baru, politik pertengahan dan pencerahan, maka parti politik itulah yang akan menguasai gelanggang pada masa depan.
Di sebalik segala kekuasaan yang digunakan, keganasan untuk menakutkan, ia memperlihatkan bahawa UMNO masih berada di takuk politik lama, sedangkan rakyat sudah jauh ke depan, katanya. Dzulkefly Ahmad menyebut nama Pak Samad (Sasterawan Negara, A.Samad Said), Marina Mahathir (anak perempuan mantan Perdana Menteri) yang turun ke jalan raya kali ini; malah ramai bekas birokrat yang menyatakan kepada dirinya, bahawa mereka menyokong BERSIH 2.0.
Beliau mengisahkan lagi, bekas mufti Perlis, Asri Zainul Abidin pada 4 Julai mengeluarkan kenyataan bahawa BERSIH 2.0 harus menerima tawaran berhimpun di stadium; malah ada sumber dalaman dipetik mengatakan bahawa istilah "gabungan HARAM" telah ditarik dari teks Titah Khas DYMM Yang di-Pertuan Agong, dan kemudian diedarkan secara terus kepada media, tanpa melalui kerajaan BN.
Ia memperlihatkan usaha golongan tertentu untuk meredakan ketegangan, malah ada usaha YDPA untuk mengimbangi keadaan itu, menurut Dzulkefly. Namun demikian, tawaran stadium ditarik balik kemudiannya, Dzulkefly berkata, "Kerajaan Najib gagal mengambil kesempatan ini untuk menggarap pemikiran rakyat yang menuntut perubahan."
Sikap dan strategi Najib silap
AJK PAS ini mengimbas, perlancaran perhimpunan BERSIH 2.0 di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor pada 19 Jun 2011 membariskan pimpinan NGO di atas pentas, sementara pemimpin parti politik yang diundang, diberi tempat duduk di bawah pentas. Dzulkefly mengakui bahawa mereka diberi peluang berucap, tapi "itu pun tiga minit!"
Tapi apa yang penting, Barisan Nasional juga disediakan kerusi, tetapi "kosong" dari awal hingga akhir majlis tersebut. Dzulkefly cuba mengulas dari perspektif pendekatan dan strategi politik. Dari segi pendekatannya, seandainya kerajaan Najib Razak menghantar wakil BN ke majlis tersebut, maka ia akan dilihat lebih bijak mengendalikan politik baru; dari strateginya pula, seandainya pimpinan BN berada dalam BERSIH 2.0, maka pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan ditonjolkan sebegitu.
Untuk Dzulkefly, disebabkan fikrah pimpinan BN gagal bebas dari politik lama, maka diserang habis-habis BERSIH 2.0, sehingga hancur semua idea "politik baru" kononnya, yang cuba dibawa Najib Razak.
Najib lebih lemah dari Abdullah Badawi
Malah, untuk mereka yang suka membaca kejadian politik dengan teori konspirasi, yang biasa didengar adalah "agenda perubahan yang ingin dibawa Najib telah disabotaj oleh pimpinan seperti Muhyiddin, Mahathir dan sebagainya." Dzulkelfy berkata, jikapun teori ini diterima, ia terbukti bahawa Najib lebih lemah, lebih flip-flop, lebih tidak berani daripada Abdullah Ahmad Badawi!
"Spineless! Tiada tulang belakang, macam sotong!" Dzulkefly Ahmad semakin rancak nadanya. Pada hakikatnya, dari awal hingga akhir episod perhimpunan BERSIH 2.0, pendekatan kerajaan menanganinya didominasi dengan agenda politik lama, malah sepupu Najib, Hishammuddin Hussein selaku Menteri Dalam Negeri, mendukung cara untuk menekan peserta perhimpunan ini.
"Apakah retorik Najib? 1Malaysia-nya hancur. Model Ekonomi Baru-nya? Hancur, kerana PERKASA. Retoriknya, 'era kerajaan tahu semua telah berakhir', juga hancur, jika dilihat apa yang berlaku pada perhimpunan BERSIH 2.0!"
Beliau meneruskan, "Apa yang diulangi adalah perhimpunan akan mencetuskan huru-hara, kedai tutup, ekonomi hancur... Rakyat dah bosan mendengarnya!"
UMNO semakin keseorangan
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika dihubungi MerdekaReview berkata, UMNO kekal dengan retorik perkaumannnya ketika berdepan dengan perhimpunan BERSIH 2.0, malah ia didoktrinkan kepada anggota polis - digambarkan bahawa BERSIH 2.0 adalah untuk melawan kerajaan Melayu UMNO.
"Ketika peserta perhimpunan ditangkap dan dipukul, polis menjerit 'jangan jadi alat Hindu'. Malah tangkapannya sengaja dikhususkan kepada pemimpin PAS. Pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang tidak ditangkap. Ini untuk menunjukkan bahawa pemimpin PAS menjadi alat kepada orang bukan Islam/Melayu," jelasnya.
Bagaimanapun, Mat Sabu menganggap propaganda UMNO tidak berkesan, melihat kepada bilangan peserta yang menghadiri perhimpunan tersebut. "Kalau tidak disekat, mungkin mencecah setengah juta," katanya, yang tercedera ketika ditangkap polis pada 9 Julai 2011.
Mat Sabu (gambar kiri, di atas kerusi roda) menjangkakan UMNO semakin keseorangan dalam BN pada masa akan datang, memandangkan MIC, MCA dan Gerakan tidak menunjukkan kepedulian dalam isu ini. "Mereka hanya boleh mengharapkan NGO seperti PERKASA," katanya.
Sebaliknya, perhimpunan BERSIH 2.0 kali ini telah menyuntik semangat kepada Pakatan Rakyat, seandainya dinilai dari perspektif politik. Beliau berkata, perhimpunan BERSIH 2.0 adalah tunjuk perasaan yang dihadiri pelbagai kaum, malah kelihatan lebih pemuda Cina tampil ke depan, berbanding perhimpunan yang lalu.
Beliau agak positif dengan sokongan Cina pada kali ini, sambil mengakui bahawa perlu lagi usaha untuk menyebarkan maklumat di kawasan desa atau kampung. "Perhimpunan ini memberi impak. Mereka yang menyertainya akan membawa maklumat ini kepada keluarga mereka di kampung, dan maklumat ini sedang menyebar luas," katanya.
No comments:
Post a Comment