Buktinya, kata pemimpin PAS dari Kelantan itu, apabila ada orang India yang rebah kerana sesak nafas dibantu oleh budak Melayu yang berkopiah.
PETALING JAYA: Perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu membuktikan hubungan kaum di negara ini amat baik, kata Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.
“Demontrasi aman yang dilakukan oleh rakyat negara ini melibatkan pelbagai kaum. Persahabatan dan silaturrahim yang ditonjolkan oleh pelbagai kaum membuktikan rakyat secara umumnya inginkan satu proses pilihan raya yang bersih dari pelbagai sudut,” katanya.
Buktinya, kata pemimpin PAS dari Kelantan itu, apabila ada orang India yang rebah kerana sesak nafas dibantu oleh budak Melayu yang berkopiah.
Katanya, kalau orang Melayu yang rebah ada budak Cina yang datang membantu, ini membuktikan pelbagai kaum bersatu dalam demonstrasi Bersih 2.0.
“Saya rasa ia sangat bermakna dan ini membuktikan rakyat Malaysia boleh hidup aman damai dan bersatu sekiranya pemerintah dapat melaksanakan dasar-dasar yang boleh menimbulkan perpaduan di kalangan rakyat,” ujarnya pada majlis mesyuarat agung Gabungan
Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Kelantan Barat malam tadi.
Husam juga berkata demonstrasi aman Bersih kali ini amat memberangsangkan kerana melibatkan rakyat Malaysia di seluruh dunia seperti di Australia, Mesir, England, Kanada dan Taiwan.
Memperkasa SPR
“Isu yang dibawa oleh Bersih 2.0 ini adalah isu yang laku dan yang betul wujud dan dikehendaki oleh rakyat Malaysia dan dikongsi oleh rakan-rakan yang berada di negara luar,” katanya.
Beliau juga berpendapat kerajaan di bawah kepimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak harus mengambil berat pandangan rakyat dalam lapan tuntutan yang dibuat oleh Bersih 2.0 dalam memperkasakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Husam juga menyokong selagi tuntutan yang dikehendaki rakyat tidak dipenuhi, seluruh rakyat memakai baju kuning pada setiap Sabtu bermula Sabtu ini sebagai solidariti berterusan.
Menyentuh kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang mengatakan hanya sekitar 5,000 hingga 6,000 orang sahaja yang hadir pada demonstrasi Bersih, Husam berkata Ketua Polis perlu lebih peka dengan perkembangan media baru, semua menunjukkan hampir puluhan ribu yang hadir pada hari tersebut.
“Ini bukan zaman 60an lagi, kalau dulu terpampar di akhbar kenyataan pemimpin secara besar-besaran, orang kampung akan beli akhbar tersebut dan mempercayainya, sedangkan masa kini ia telah berubah, akhbar sudah tidak lagi relevan kerana media elektronik lebih pantas dan siap dengan gambar videonya sekali,” katanya.
No comments:
Post a Comment