Najib memberi amaran kepada Peguam supaya tidak terlibat dengan Bersih

Muda Mohd. Noor | July 1, 2011

"Kita (Malaysia) sebuah negara yang berdaulat, mempunyai undang-undang dan perlembagaan," kata Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan para peguam supaya tidak terlibat dengan demonstrasi jalanan.

“Kita (Malaysia) sebuah negara yang berdaulat, mempunyai undang-undang dan perlembagaan,” katanya, merujuk kepada perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai ini.

Justeru itu katanya, kita hendaklah bertindak secara rasional dan profesional dan bukannya mengikut emosi tanpa menggadai harga sebuah keamanan dan keharmonian yang kita kecapi hasil daripada perjuang bangsa, agama dan negara.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan secara serentak Persidangan Pegawai Syariah Malaysia ke 13 dan penutupan Konvensyen Peguam Syarie Kedua di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau berkata, peranan peguam syarie dan peguam sivil sangat penting dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian negara ini.

Perdana Menteri juga kagum dengan transformasi yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah walaupun tidak dihebahkan.

Antaranya ialah perintah Mahkamah Syariah mengenai harta pusaka telah diterima pakai di Australia manakala dokumen khas poligami diguna pakai di Pakistan.

Najib berkata, beliau difahamkan Mahkamah Syariah juga menerima pakai keterangan secara baiyyinah secara DNA seperti diamalkan Mahkamah Sivil.

Katanya, keputusan Mahkamah Syariah mengenai penerimaan ini membuktikan Mahkamah Syariah telah lama dan sedia menerima transformasi dalam pelbagai aspek.

Di majlis tersebut, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Akta Guaman Syarie akan diluluskan dan diterima pakai dalam masa terdekat.

No comments: