Ketua Penerangan PAS, berkata pelbagai sekatan dan ancaman 'disajikan' KDN untuk gagalkan Bersih 2.0.
PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri mesti bertindak dengan lebih profesional melayani kehendak rakyat ke arah sistem pilihan raya yang lebih baik dan adil daripada menumpukan kepada kerja untuk memburukkan Bersih 2.0.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keyakinan rakyat kepada sistem pilihan raya yang bersih dan adil adalah asas keyakinan dan kesejahteraan negara.
“KDN boleh mengarahkan polis untuk menghalang dari sudut fizikal, namun perlu diingatkan rasa tidak puas hati rakyat akan terus membara dan marak, sehingga ianya boleh mencetus pemberontakan dalaman.
“Sepatutnya ini yang perlu dinilai oleh KDN,” katanya hari ini.
Ketua Penerangan PAS itu menyelar Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan mendakwa menyalahgunakan kuasa dengan bertindak di luar batas undang-undang untuk mengharamkan Bersih 2.0 .
Di luar undang-undang
“(Mengharamkan) Bersih di bawah seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 jelas bercanggah dengan dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat seperti yang dinyatakan peguam Hak Asasi Manusia, N Surendran.
“PAS menghidu tindakan kerajaan BN mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan yang tidak pernah didaftar semata-mata bertujuan supaya gabungan 62 NGO tersebut boleh dianggap pertubuhan haram bagi membolehkan KDN mengerahkan polis untuk bertindak ke atas pemimpinnya.
“Tindakan ini dilihat langkah awal bagi melakukan tangkapan besar-besaran ke atas para pimpinan NGO yang menyokong Bersih 2.0 termasuk Pakatan Rakyat kononnya mencetuskan suasana gawat dalam negara; walhal jelas di mata orang awam bahawa Umno dan Perkasa merupakan pihak yang mencetuskan kontroversi dalam mengadakan perhimpunan Julai 9,” tambahnya.
Kata Tuan Ibrahim lagi, pelbagai sekatan dan ancaman ‘disajikan’ KDN untuk gagalkan Bersih 2.0
PAS, tambahnya juga melihat tindakan KDN ini seolah-olah cuba mendapatkan keizinan perundangan ke atas tindakan yang bakal dilakukan.
No comments:
Post a Comment