Konflik PPSMI, PAGE enggan undur

October 28, 2011

Pengerusinya, Noor Azimah Abdul Rahim berkata, sejak penubuhan petisyen secara online dua minggu lalu, pihaknya berjaya mengumpulkan lebih 100, 000 sokongan ibu bapa terhadap PPSMI.

PETALING JAYA: Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) akan menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dijalankan di negara ini

Pengerusi PAGE, Noor Azimah Abdul Rahim berkata, sejak penubuhan petisyen secara online dua minggu lalu, pihaknya berjaya mengumpulkan lebih 100, 000 sokongan ibu bapa terhadap PPSMI.

Menurutnya PAGE bertindak untuk memperkasakan pelajar-pelajar Melayu agar mahir Bahasa Inggeris dalam sains dan teknologi maka beliau menggesa kerajaan mencari jalan penyelesaian baru berhubung hal itu.

“Hal ini sudah merebak ke negeri-negeri lain seperti Selangor, Sabah dan Pulau Pinang. Jelas bahawa bukan PAGE sahaja yang mahu pilihan untuk meneruskan dasar PPSMI, malah kumpulan ibu bapa ini berfikiran sama.

“Contohnya di Petaling Jaya, Selangor saya difahamkan terdapat 200 orang ibu bapa berkumpul dan memberi pandangan agar wujud peluang meneruskan PPSMI. Mereka (ibu bapa) merasa tertekan. Kerajaan pula tidak mendengar apa kata mereka. Kerajaan perlu buat sesuatu sebelum perkara ini di luar kawalan.

“PAGE akan terus menunggu jawapan daripada pihak menteri dan kami akan hantar memorandum dalam masa terdekat.Kita akan hantar petisyen secara online yang kami jalankan. Setakat yang kami peroleh daripada PAGE dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) adalah lebih 100, 000 nombor telefon ibu bapa yang menyokong PPSMI,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Autonomi kepada sekolah

Sebelum ini PAGE dan JMM menggesa agar diberikan autonomi kepada sekolah untuk memilih PPSMI berdasarkan kajian mereka yang mendakwa sebahagian besar guru dan ibu bapa mengharapkan agar PPSMI dilaksanakan semula.

Ujar Noor Azimah cukup mengecewakan apabila statistik menunjukkan 80 peratus pelajar tidak dapat menghabiskan pelajaran di tahap yang lebih tinggi iaitu dalam peringkat diploma dan ijazah.

Katanya pendidikan di Malaysia ketinggalan kerana kekurangan bahasa ilmu dalam bidang sains dan teknologi.

“Kita ketinggalan sebab kita kekurangan ilmu dalam bidang sains dan teknologi. Mungkin belajar Bahasa Inggeris membuatkan pelajar lebih mudah untuk memahami dan meneruskan pelajaran dalam bidang tersebut. Jika nak bandingkan negara maju seperti Jerman dan Jepun yang menggunakan bahasa ibunda mereka…kita perlu tanya diri sendiri di mana tahap Bahasa Melayu sekarang?

“Bahasa ilmu di dunia seperti Mandrin,English (Bahasa Inggeris), Jerman dan lain-lain…tapi Bahasa Melayu di mana? Kita belum mencapai tahap itu, Malaysia adalah negara pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Setiausaha Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) Hasni Abas semalam yang mengatakan negara-negara maju tidak mempunyai masalah menggunakan bahasa ibunda mereka dalam pembelajaran ilmu.

Turut dilaporkan media hari ini apabila 49 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus mempertahankan PPSMI dan mahu agar kerajaan bertindak tegas di atas sebarang desakan untuk mempertimbangkan semula pelaksanaanya.

No comments: