SAMM sokong kenyataan Aziz Bari yang menyatakan titah monarki boleh dikritik dan diperdebatkan.
SEREMBAN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini menyatakan sokongan terhadap kenyataan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Profesor Aziz Bari bahawa titah monarki boleh dikritik dan diperdebatkan.
Tindakan penguasa regim Umno-Barisan Nasional (BN) mengambil tindakan hanya atas komen tersebut dilihat hipokrit dan terkebelakang, kata Pengerusinya Badrul Hisham Shaharin.
Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata dalam dunia yang terbuka ini semua perkara harus dihujahkan dengan matang. Ini bukan zaman rakyat khususnya anak muda menerima apa sahaja yag disuap dari pihak atasan. Zaman ini setiap hujah itu pasti akan dibahas dan dikritik jika perlu.
Begitu jugalah institusi monarki bukan sahaja di negara ini tetapi terdapat di seluruh dunia. Institusi monarki ini harus segera menyesuaikan diri termasuklah berevolusi sesuai dengan peredaran zaman. Mahu atau tidak ia sesuatu yang wajib demi kelangsungan untuk institusi beraja.
“SAMM merafak sembah menghormati titah kerabat monarki di Negeri Sembilan, Tunku Zain Al ‘Abidin Tuanku Muhriz yang menitahkan bahawa titah diraja boleh dibincangkan oleh ahli akademik dan media, selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan yang sebenar.
“Ini menunjukkan dengan jelas betapa dalam dunia terbuka ini institusi monarki harus bersedia untuk titah mereka diperdebatkan dan dikritik masyarakat.
“Dalam memperkatakan perkara ini, mana-mana pihak pun pasti akan merujuk peristiwa krisis antara istana dan kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Namun bagi SAMM kami dengan jelas menyokong tindakan Dr Mahathir meminda perlembagaan negara membawa institusi monarki dalam realiti masyarakat kini.
Tidak setuju cara Mahathir
Namun apa yang kami tidak setuju ialah cara bagaimana Mahathir memalukan dan menghina institusi monarki dengan memberikan persepsi hina kepada institusi monarki demi meraih sokongan rakyat terhadap usaha pindaan perlembagaannya”, jelas CheguBard.
CheguBard yang juga Ketua Cabang PKR Rembau turut merujuk peristiwa kedua pula di mana Menteri Besar pilihan Barisan Nasional, Idris Jusoh telah ditolak dari mengangkat sumpah di Terengganu selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008.
SAMM berpendapat sememangnya institusi monarki punya kuasa atau peranan dalam memperkenan siapa mahu menjadi ketua negara atau ketua negeri dalam pentadbiran politik tetapi institusi monarki juga harus berdepan dengan rakyat iaitu menjelaskan sebarang tindakan mereka dalam hujah yang boleh diterima. Pada ketika itu, istana harus tampil memberi penjelasan kepada rakyat Terengganu mengenai tindakan mereka.
Beliau berkata, respon rakyat pada ketika itu yang dipengaruhi oleh parti politik juga ada yang tidak kena. Umno (pro Idris Jusoh) telah bertindak melulu sehingga menghina Sultan dengan panggilan ‘natang’ (dialek Terengganu yang bermaksud binatang).
“Pihak yang bersetuju dengan keputusan menyingkirkan Idris pula telah menyokong Sultan secara melulu, ini tidak progresif. Seharusnya pihak ini merafak sembah meminta istana tampil memberikan penjelasan kenapa tindakan itu diambil dan ini lebih progresif.
“Pihak berkuasa juga dalam perkara ini menjadi kuda tunggangan regim Umno-BN. Sekiranya menghina monarki itu berpihak regim maka mata pihak berkuasa sengaja dibutakan. Tetapi jika timbul saranan walaupun saranan itu ke arah memperkasa monarki diutarakan oleh pihak bukan dari regim, maka tindakan ‘segera’ diambil”, ulas CheguBard lagi.
CheguBard berkata beliau sendiri pernah berdepan situasi ini hanya apabila mencadangkan betapa penting peranan institusi monarki dalam menjaga kepentingan agama malah dalam perkara mutaakhir ini sering pula dipertikaikan.
Beliau pernah mencadangkan agar sultan atau bakal sultan wajib sekurang-kurangnya memiliki diploma syariah Islam atau berkaitan bagi membantu baginda membuat keputusan tepat bukan sekadar dipengaruhi ‘nasihat’ yang mungkin mewakili kepentingan tertentu.
“Malangnya selepas posting yang ditulis sempena keputeraan Yang DiPertuan Agong ini dibuat, Ketua Pemuda Umno Rembau telah mengarahkan pemudanya membuat laporan polis terhadap artikel ini kononnya menghina monarki dengan tidak pandai hal ehwal Islam.
“Atas laporan dangkal itu maka berkejarlah polis menahan saya. Saya ditahan dalam serbuan polis ketika sedang mempengerusikan mesyuarat AJK Cabang PKR Rembau.
“Begitulah berterusan, ini membukti betapa hipokrit regim Umno. Mereka memperlaku institusi istana seumpama pelacur, apabila suka dicari untuk berlindung tetapi apabila tidak suka diterajang hina”, kata Chegu Bard.
Evolusi ikut zaman
Justeru itu Chegu Bard berkata beliau ingin menyeru kepada institusi monarki negara ini agar sedar hakikat keperluan berevolusi mengikut zaman untuk kekal relevannya.
“Rakyat masih boleh menerima bajet yang besar diperuntukan untuk monarki dalam negara ini, tetapi rakyat sudah tentu tidak boleh menerima jika jumlahnya tidak masuk akal dalam keadaan rakyat terhimpit dengan perbagai kepayahan.
“Intai dan pelajarilah institusi beraja di banyak negara bagaimana peranan dimainkan. Ada yang sudah umpama muzium dan alat keraian seperti kebanyakan negara Eropah termasuk England tetapi ada juga yang terus kekal dihormati seperti di Thailand.
“Ini bukan zaman Melaka, dunia berkembang pesat sewajarnya isi kandung dalamnya juga harus transform secepat perkembangan dunia jika tidak mahu ketinggalan. Rakyat tidak lagi boleh lagi dipaksa akur membuta tuli,” terang beliau.
Chegu Bard juga meningatkan juga institusi monarki ini seharusnya bukan punya orang Melayu sahaja. Institusi beraja ini seharusnya juga dihormati oleh semua bangsa atau keturunan yang diamnya dalam tanah jajahan ini. Untuk itu ruang perbincangan dan pemahaman sewajarnya harus juga sampai kepada semua rakyat.
Sementara itu, FMT pada 13 Oktober lalu melaporkan bahawa Senator Ezam Mohd Noor membuat laporan di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam berhubung kenyataan Aziz Bari yang disiarkan oleh sebuah portal berita.
Ezam mendakwa Aziz Bari tidak menghormati kuasa Sultan Selangor dalam hal ehwal Islam di negeri itu dan beliau mahu Aziz Bari disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.
1 comment:
Agreed,God decides everything not royals;infact rakyat contribute to the well being of royals in this country.Look at them, in desperate measures to secure huge contracts,royalties to an extend neglect rakyat and their fairly elected government been ripped off and so forth.What kind of message being sent to rakyat and younger generation........
Post a Comment