Pengikut Syiah fail saman terhadap Utusan dan Jais

October 19, 2011

Mohd Kamilzuhairi Abd Aziz, dalam saman itu menamakan penerbit dan pencetak akhbar harian Utusan Malaysia dan akhbar Mingguan Malaysia, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, bekas pengarah Jais Datuk Muhammad Khusrin Munawi dan Jais sebagai defendan

KUALA LUMPUR: Seorang pengikut Syiah yang ditangkap dalam satu serbuan pada Disember tahun lepas, memfailkan saman terhadap sebuah akhbar, bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jais atas dakwaan menerbitkan kenyataan fitnah berhubung serbuan itu.

Mohd Kamilzuhairi Abd Aziz, dalam saman itu menamakan penerbit dan pencetak akhbar harian Utusan Malaysia dan akhbar Mingguan Malaysia, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, bekas pengarah Jais Datuk Muhammad Khusrin Munawi dan Jais sebagai defendan.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi pada 16 Jun lepas. Media memperoleh salinan pernyataan tuntutan itu hari ini.

Terdahulu, Hakim Datuk V.T. Singham ketika kes itu disebut di hadapannya hari ini, membenarkan permohonan Mohd Kamilzuhairi yang diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin bagi meminda tarikh artikel itu diterbitkan daripada 16 Dis, 2010 kepada 17 Dis, 2010.

Hakim Singham juga menetapkan 31 Okt ini bagi membuat keputusan terhadap permohonan Muhammad Khusrin dan Jais untuk membatalkan saman itu.

Beliau juga menetapkan 20 dan 21 Feb tahun depan bagi perbicaraan kes itu, tertakluk kepada keputusan untuk membatalkan saman itu.

Kenyataan fitnah

Mohd Kamilzuhairi dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Muhammad Khusrin pada 16 Dis tahun lepas, telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya dan kenyataan itu telah diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Dis tahun lepas.

Beliau mendakwa kenyataan itu secara langsung atau tidak langsung merujuk kepadanya walaupun namanya tidak disebut. Markas Syiah

Mohd Kamilzuhairi berkata kata-kata dalam kenyataan itu dibuat selepas serbuan JAIS ke atas markas Syiah, di Taman Sri Gombak, Batu Caves pada 15 Disember tahun lepas, yang boleh membawa maksud beliau adalah pengikut ajaran Syiah yang mengkafirkan umat Islam lain dan beliau adalah seorang pengikut ajaran Syiah yang lebih berbahaya daripada ajaran sesat.

Beliau mendakwa kenyataan itu diterbitkan bagi mensensasikan berita dan melariskan penjualan akhbar tanpa mengambil berat reputasi, maruah dan harga dirinya.

Beliau memohon ganti rugi am, teladan, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Utusan Melayu dalam pernyataan pembelaan menafikan artikel itu mengandungi sebarang unsur fitnah manakala Muhammad Khusrin dan Jais dalam pernyataan pembelaan menegaskan kenyataan yang diterbitkan oleh bekas pengarah Jais itu tidak pada bila-bila masa menyebut nama plaintif (Mohd Kamilzuhairi).

No comments: