Pengerusi Bersama Himpun Dr Mohd Yusri Mohamad berkata pihaknya turut menjemput pemimpin parti politik untuk memberikan sokongan dalam perhimpunan itu.
PETALING JAYA: Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahan Akidah tidak menolak kemungkinan bahawa para pemimpin parti politik akan menyertai perhimpunan itu di Stadium Shah Alam bermula jam 2.00 petang esok.
Pengerusi Bersama Himpun Dr Mohd Yusri Mohamad berkata pihaknya turut menjemput pemimpin parti politik untuk memberikan sokongan dalam perhimpunan itu.
Ketika ditanya mengenai desas-desus kehadiran bekas Pesuruhjaya PAS yang juga Exco Selangor Datuk Dr Hassan Ali, Yusri enggan mengulas lanjut.
Beliau yang mengelak apabila diajukan soalan itu sebaliknya berkata wujud elemen kehadiran pemimpin politik lain dalam perhimpunan itu nanti namun beliau enggan mendedahkan butir-butir itu memandangkan ia masih belum muktamad.
“Tak dinafikan kami menjemput pemimpin parti politik. Sebahagian membantu atas kapasiti lain. Memandangkan mereka juga ahli NGO dan anggota masyarakat yang prihatin.
“Kehadiran parti politik adalah seimbang. Kami tidak mahu hanya pemimpin dari satu pihak yang ditonjolkan dalam perhimpunan itu nanti kerana ia tidak membayangkan himpunan yang sebenar.
“Pemimpin yang sah akan hadir adalah Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, penulis buku Natrah Datin Fatini Yaacob, wakil-wakil NGO serta wakil masyarakat Bosnia mengenai pengalamannya tentang akidah di negaranya,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Perhimpunan bertemakan ‘Selamatkan Akidah’ dijangka disertai oleh 3,000 anggota badan bukan kerajaan (NGO), ia merupakan inisiatif pelbagai lapisan masyarakat dalam mempertahankan akidah umat Islam yang kian meruncing.
Menurut Yusri perhimpunan yang bertujuan untuk mengajak umat Islam berhimpun bagi menolak murtad serta menyeru mereka agar tidak melayan tanggapan negatif mengenai Islam.
Katanya seramai 500 anggota Rela dan sukarelawan akan ditugaskan mengawal keadaan dan lalulintas, malah beliau optimis perhimpunan esok akan diadakan tanpa sebarang gangguan dan ianya mendapat permit polis.
Yusri berkata artis-artis nasyid seperti Raihan, Rabbani, In-team dan Hijaz akan membuat persembahan dan lagu khas mengenai Himpun akan dinyanyikan.
No comments:
Post a Comment