Umno guna 'talian hayat' istana, polis

TASEK GELUGOR, 13 Feb (Hrkh)- Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menggangap 'talian hayat' Umno kini bergantung pada pasukan keselamatan dan pihak istana ketika membantu peristiwa rampasan kuasa Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Tambah beliau, Umno sebenarnya takut berhadapan dengan realiti untuk bertanding dalam pilihan raya kecil di mana rakyat yang menjadi hakimnya.

Pakatan Rakyat seperti PAS, KeADILan dan DAP senantiasa menanti untuk bersemuka dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi mengatakan yang hak untuk rakyat menilai yang mana betul dan yang mana dikatakan rakus, katanya

"Tragedi yang melanda Kerajaan Perak minggu lalu adalah pintu untuk Umno menuju ajal sebenar dalam masa singkat.

"Jika mereka tidak bertindak merampas kemungkinan usia Umno lebih panjang tetapi kini nak bernyawa pun dah tersekat-sekat, " ujarnya dalam program ceramah perdana anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor baru-baru ini.

Baginya, ada hikmah yang tersembunyi di sebalik peristiwa tersebut untuk direnungi bersama umpamanya lebih berhati-hati ketika memilih calon untuk bertanding dalam pilihanraya ke 13 kelak, jentera Pakatan Rakyat hendaklah diperkuatkan dan mesti mempunyai jiwa kental untuk melawan BN bukan seperti 'kambing takutkan air'.

Fenomena yang melanda Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak harus teladani oleh Pakatan Rakyat sekiranya mahukan kekuatan terbina, semua parti dalam gabungan wajar menanamkan semangat perjuangan yang tinggi di kalangan ahli dan kepimpinanya.

"Jika tidak dapat merenggangkan bilangan kerusi yang banyak pasti sukar untuk BN mencari kesempatan maka tugas kita mulai sekarang memastikan kekuatan terbina sesama sendiri, " jelasnya.

"Najib sengaja atur strategi sebegitu untuk meningkatkan graf dirinya menjelang Mac ini tetapi dia silap sasaran yang mana silap-silap haribulan parti Umno dan BN terus hilang kuasa di beberapa negeri lagi, " katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah.

Menyentuh mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Zahid Hamidi kononnya PAS diperkudakan oleh KeADILan dan DAP beliau berkata, tidak berlaku sebegitu sebaliknya sama-sama berganding bahu untuk menjayakan program atau merangka strategi menjatuhkan BN.

"Tidak timbul siapa memperkudakan siapa dalam Pakatan Rakyat tetapi yang penting ialah pergantungan sesama sendiri untuk menjatuhkan BN.

"Itulah yang ditakuti oleh BN selama ini sehinggakan membuat mereka terpaksa mengerakkan aktiviti terancang merampas kembali Perak dengan cara yang tidak beradap, " tegasnya.

Berceramah sama pada malam tadi ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairudin, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Choong Eng dan Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, Ustaz Khalid Man.

Harakah
13/02/09

1 comment:

Anonymous said...

diam le kome. dah bodoh nak perintah sangat negeri. kena main sikit dah jatuh. kakau cia tipu kome lagi teruk, terjual negara. tak layak le kamu nak perintah negara sebab bodoh sombong. diam je le