Tidak sedarkah Melayu sedang dihina? — Utusan Malaysia

Sekali lagi segelintir orang Melayu menjadi 'kuda tunggangan' pihak tertentu. Sekali lagi Melayu ditipu kerana mahu memenuhi perjuangan kaum lain.

Pada Februari lalu, kita dapat saksikan bagaimana orang Melayu yang menjadi penyokong fanatik pakatan pembangkang di Perak sanggup tunjuk perasaan dan baring di tengah jalan depan Istana Kuala Kangsar.

Dulu mereka tunjuk perasaan sebab mahu mengganggu majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru. Mereka lupa kerajaan pimpinan bekas menteri besar daripada Pas dan ‘dikawal’ oleh DAP itu sudah hilang kuasa.

Sabtu lalu, orang Melayu yang beria-ia mahu ISA dimansuhkan melakukan huru-hara di ibu kota Kuala Lumpur. Mereka lupa pihak yang mahu ISA dimansuhkan itu adalah perjuangan pertubuhan haram Hindraf.

Orang Melayu perlu buka mata dan pasang telinga. Kalau benar pakatan menolak ISA itu adalah suara semua kaum, ke mana kaum-kaum lain dalam demonstrasi Sabtu lalu?

Hakikatnya, majoriti yang terkena gas dan cecair pemedih mata adalah orang Melayu. Lebih 90 peratus daripada 589 orang yang ditahan juga adalah Melayu.

Ke mana perginya penyokong DAP dan PKR daripada kaum Cina dan India? Adakah mereka mempunyai strategi lain dan demonstrasi jalanan bukan cara mereka?

Sebelum ini mereka yang berapi-api melaungkan slogan hapuskan ISA.

Nampaknya penyokong Pas sahaja yang dijadikan 'kambing hitam.' Imej Melayu yang berkupiah putih, berjubah dan berserban diperlihat sebagai orang yang ganas dan kurang bertamadun.

Tiada siapa yang suka imej yang memburukkan orang Melayu dan Islam. Jelas ada yang tidak kena. Adakah orang Melayu sedar akan hal ini?

Kejadian dua kali orang Melayu 'bertempur' dengan pasukan polis pada tahun ini wajar membuka akal fikiran kita.

Bodohkah Melayu atau bijaknya mainan politik bukan Melayu? Cuba fikir, akhirnya siapa yang untung dan siapa yang rugi?

Kita belum temui cadangan pihak pakatan rakyat untuk mengadakan demonstrasi mempertahankan hak-hak Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan yang cuba diganggu-gugat oleh bukan Melayu.

Sebaliknya perkara yang boleh memberi keuntungan kepada bukan Melayu dalam jangka masa panjang yang beria-ia disokong.

Kempen pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak adalah usaha kuat DAP. Gerakan hapuskan ISA adalah kempen Hindraf.

Tetapi majoriti peserta tunjuk perasaan yang menyusahkan rakyat itu ialah Melayu.

Jika dikatakan maruah dan martabat orang Melayu sekarang semakin diganggu gugat dan dicabar, mungkin penyokong pembangkang enggan menerimanya.

Mereka tidak akan percaya maruah Melayu dihina dan diperkudakan. Mereka tak mudah menerima penerangan bahawa banyak cara halus sedang dilakukan untuk menjatuhkan maruah pemimpin dan orang Melayu.

Terpulang kepada orang Melayu sendiri sama ada mahu bangkit atau relakan diri dipijak oleh orang lain.

Utusan Malaysia

mi1: Penulis ini dah makam babi kut, kena selsema babi

No comments: