Cuba anda bayangkan, mungkinkah White House, kediaman Presiden Amerika Syarikat menyewa Blair House, iaitu rumah tetamu rasminya kepada orang yang tidak diketahui identitinya, untuk menayangkan “filem lucah”, sebagai serangan terhadap pembangkangnya?
Kelmarin, seorang lelaki yang menggelar dirinya Datuk T (gagal dikenalpasti kesahan gelaran Datuk-nya, memandangkan semakin ramai Datuk muncul buat masa kini) telah menayangkan satu klip video di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur. Pengamal media yang diundang menerima sms pada awal pagi, “terlepas peluang keemasan kalau tak datang”. Maka suasana pemandangan Tasik Perdana yang aman dan tenang di sekitarnya berkocak, diusik dengan “kegemparan” tersebut.
Menurut laporan, penganjur amat berwaspada sepanjang proses ini. Mereka yang hadir diminta untuk memakai jubah. Motifnya cukup meragukan dengan aturan sedemikian. Hotel yang berkelas tinggi biasanya tidak akan menyewa tempatnya kepada pihak sedemikian, agar tidak menimbulkan kebimbangan penyewa hotal yang lain – melainkan jikalau tujuannya dijelaskan.
Seandainya Datuk T berterus-terang, maka “tayangan” tersebut semestinya dibatalkan. Mustahil untuk mana-mana hotel yang memiliki reputasi antarabangsa menyewa tempatnya untuk tujuan membongkar keperibadian orang lain. Hal ini berkaitan dengan jenama, maruah dan tanggungjawab undang-undang – yang mustahil untuk dikompromi.
Jadi, Carcosa Seri Negara yang dimiliki sepenuhnya kerajaan menjadi satu-satunya pilihan. Keadaannya mudah dikawal, kesepian kerana terasing dari kesibukan bandar, maka tidaklah menarik tumpuan orang yang tidak berkenaan.
Tadi saya menyebut “keperibadian”. Betul, kejadian ini melibatkan keperibadian orang lain. Dari segi perundangan jenayah di Malaysia, ia cukup untuk disabit dengan pelbagai tuduhan jenayah. Namun demikian, seperti kes Chua Soi Lek yang berlaku tiga tahun lalu, dari Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein hinggalah IPD Kuala Lumpur – semuanya tidak berminat dengan perakam video, sebaliknya meminta agar mangsanya membuat laporan polis terlebih dahulu. Ia seolah-olah apabila anda dirompak peragut, dan anda meminta pertolongan daripada polis yang sedang menyaksikan apa yang berlaku – kemudian anda dibalas oleh polis tersebut, “Sudahkah kamu buat laporan polis?”
Lebih-lebih lagi, “Datuk T” menyiarkan klip video seks secara terbuka, malah mendesak agar orang yang kononnya dalam video tersebut berundur bersama isterinya, dan mengugut “(babak yang lebih hebat) akan datang lagi”. Takkanlah seseorang begitu angkuh, seandainya tidak disokong dengan kuasa yang besar di sebalik tabir?
Seandainya anda menghantar sms, malah mengundang media dalam facebook untuk menonton bersama di sebuah kafe tertentu – klips video seks penyanyi terkenal Indonesia, Ariel bersama teman wanitanya – malah mendakwa “akan datang (lagi adegan-adegan yang hebat)”. Saya sanggup “potong” – jikalau tiada apa-apa berlaku kepada anda selepas itu.
Bangunan bersejarah jadi mangsa politik jijik
Carcosa Seri Negara dibina atas cadangan Residen-Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham pada ketika itu. “Carcosa” dinamakan Sir Frank Swettenham sendiri, dan menjadi kediaman rasmi wakil-wakil tertinggi British. Pada September 1956, Tunku Abdul Rahman yang bermurah dengan hati “rakyat”, meluluskan usul dalam mesyuarat untuk menjadikan bangunan di atas bukit ini sebagai kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British selepas merdeka.
Keputusan ini semestinya tidak direstui nasionalis dalam UMNO. Pada pertengahan tahun 1980-an, Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Anwar Ibrahim (gambar kanan) cuba menyerang dengan wacananya, seiring langkah “decolonize” oleh Mahathir Mohamad – berjaya memaksa London untuk melepaskan aset ini kepada kerajaan Malaysia pada tahun 1987. Tunku Abdul Rahman biarpun marah apabila dituduh oleh generasi muda bahawa beliau cuba “memikat hati British”, namun hanya boleh mengeluh kerana senario tidak lagi memihak kepada dirinya pada ketika itu.
Perubahan berlaku mengikut peredaran zaman. Setelah Carcosa menjadi rumah tetamu rasmi negara, maka ia juga jatuh ke dalam genggaman UMNO. Anwar Ibrahim yang didakwa sebagai lelaki dalam klip video seks itu, mungkin lebih rela “Carcosa” masih “Carcosa” yang asalnya – melihat kepada nasib dirinya pada hari ini. Sebagai bangunan rasmi kediaman diplomat asing, ia semestinya tidak akan menjadi mangsa pergelutan kuasa politik yang jijik.
Penulis Jerman, Thomas Mann pernah berkata, “Tief ist der Brunnen der Vergangenheit. Sollte man ihn nicht unergruendlich nennen?”. Maknanya, masa silam terlalu kompleks, sarat dengan kontradiksi yang tidak terhingga. Apabila terlalu ke depan untuk memperjuangkan nasionalisme, ia tidak terelak untuk membayar harganya. Ada kalanya, jenaka sejarah ini cukup zalim.
No comments:
Post a Comment