Siapa pendatang?

Uthaya Sankar SB | March 28, 2011

Penulis mengajak pembaca menilai suatu isu besar yang berada di depan mata tetapi sering tidak dibincangkan secara terbuka.


Saya amat menyampah apabila sesiapa sahaja merujuk warganegara Malaysia daripada kalangan kaum Cina, kaum India dan “lain-lain” sebagai “pendatang” dan “bangsa asing”.

Ternyata kelompok yang menggunakan istilah berbentuk penghinaan itu tidak tahu membezakan antara “keturunan”, “kaum” dan “bangsa” serta tidak tahu sejarah dan asal-usul masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Sepatutnya kelompok seperti itu ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mampu menggugat keamanan dan keselamatan negara dengan membawa unsur-unsur ekstremis dan perkauman melampau.

Saya biasa mendengar penggunaan istilah “bangsa asing” dan “pendatang”; misalnya apabila kelompok tertentu (termasuk Badut Paul Lathic, tentunya) berkata, “Bangsa asing dan pendatang perlu menghormati bla bla bla …” di mana istilah itu digunakan untuk merujuk kepada mana-mana warganegara Malaysia yang bukan “kaum Melayu”.

Saya juga amat menyampah apabila kelompok tertentu bercakap mengenai penduduk di Sabah dan Sarawak bagaikan kedua-dua negeri itu bukan sebahagian daripada Malaysia!

Sering juga saya mendengar orang berkata, “Bangsa asing dan pendatang pun sudah pandai bercakap Bahasa Malaysia” di mana “bangsa asing” dan “pendatang” bukan merujuk kepada bangsa asing (bukan warganegara Malaysia) dan pendatang asing tetapi merujuk kepada sesiapa sahaja yang bukan “kaum Melayu” walaupun mereka adalah warganegara Malaysia yang berjiwa Bangsa Malaysia.

Saya berani mengatakan bahawa istilah “pendatang” dan “bangsa asing” digunakan ke atas warganegara Malaysia yang bukan “kaum Melayu” hanya oleh kelompok yang fanatik, penuh dengan kebencian, bersikap perkauman secara ekstrem serta menganggap dirinya sendiri adalah “pendatang” yang sedikit pun tidak berjiwa atau bersemangat Bangsa Malaysia.

Maka, untuk menutup hakikat kelemahan dirinya itu, mulalah individu berkenaan melabel orang lain sebagai “pendatang” dan “bangsa asing”; tidak ubah seperti kelompok tertentu yang takut bayang-bayang sendiri dalam soal penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk kepada bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.

Pada 26 Julai 2010, saya ada menyatakan begini pada ruangan status di laman rangkaian sosial Facebook:

“Terkejut kerana masih ada kelompok tertentu yang merujuk pada warganegara Malaysia kaum India dan kaum Cina sebagai ‘bangsa asing’ dan ‘pendatang’.”

Pelbagai reaksi dan protes peribadi

Status itu mendapat beberapa reaksi daripada rakan-rakan. Masing-masing memberikan pandangan, komen dan kritikan untuk manfaat bersama. Sekurang-kurangnya, ada ruang dan peluang untuk mereka bersuara dan menyatakan pendirian berhubung topik yang sengaja dilabel pihak tertentu sebagai “sensitif” dan “menggugat keselamatan negara”.

Pada tarikh yang sama juga, saya memutuskan untuk mengambil langkah wajar sebagai protes peribadi terhadap penghinaan yang dilakukan mana-mana pihak melalui penggunaan istilah “bangsa asing” dan “pendatang”.

Keputusan saya adalah seperti berikut; sebagaimana saya paparkan pada ruangan status di Facebook pada 26 Julai 2010:

“Sesiapa yang berpendirian bahawa warganegara Malaysia daripada kalangan kaum Cina, kaum India dan ‘lain-lain’ sebagai ‘pendatang’ dan ‘bangsa asing’ tolong segera klik Remove From Friends kerana saya tidak layak menjadi sahabat anda. Teruskanlah hidup anda yang penuh kepura-puraan.”

Dalam masa tidak sampai 24 jam, dua individu berbuat demikian. Terima kasih, Tuhan, kerana menyelamatkan saya daripada terus berkawan dengan puak ekstremis yang menggugat keamanan negara!

Bayangkan! Walaupun negara merdeka pada 1957 dan Malaysia terbentuk pada 1963, desas-desus melibatkan “pendatang” terus kedengaran pada 1960-an, 1970-an, 1980-an dan 1990-an.

Sejak kecil, saya juga sering mendengar kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga emas mengatakan bahawa kaum Cina dan kaum India di negara ini tetap dilihat sebagai pendatang dan boleh “dihalau keluar pada bila-bila masa”.

Tentu sahaja sebagai seorang kanak-kanak – dan kemudian remaja – perasaan saya terguris mendengar kata-kata yang menafikan hak dan kedudukan mana-mana warga Malaysia.

Saya juga sedikit marah terhadap generasi terdahulu kaum Cina dan kaum India yang masih risau memikirkan kemungkinan mereka “dihalau keluar pada bila-bila masa” kerana kononnya mereka tetap dianggap “pendatang” walaupun mereka lahir, tinggal dan bakal meninggal dunia di sini.

Bagi saya, citra kaum India di Malaysia adalah seperti watak Madhavi dan Vijay Kumar serta datuk mereka (Kumara Kurunadhar) yang saya paparkan dalam cerpen “Nayagi” (Menara 5, 1993).

Keakraban generasi muda pelbagai kaum di Malaysia adalah seperti yang diwakili dua watak kanak-kanak dalam cerpen “Orang Pulau” (Siru Kambam, 1996).

Peristiwa 13 Mei 1969 sepatutnya sudah menjadi satu pengajaran besar. Tentu sahaja tidak mungkin berlaku bencana seperti saya gambarkan dalam sebuah faksyen berjudul “Pulau Pendatang” yang sebelum ini disiarkan secara bersiri dan eksklusif menerusi blog saya mulai Ogos 2010.

Dahulu, saya tidak faham mengapa ada kaum Cina dan kaum India yang masih “takut” sedangkan segala hak dan kedudukan mereka terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi negara.

Gajah di depan mata

Namun, nampaknya isu “pendatang” masih berlarutan pada Alaf Baru. Pelbagai cara licik dan tidak bermaruah digunakan pihak tertentu untuk terus mempersoalkan kesetiaan rakyat negara ini.

Kreativiti dan inovasi ternyata dimanipulasi sepenuhnya dalam hal ini. Sekadar contoh, apabila kaum Cina dan kaum India kurang berminat menyertai angkatan tentera, dikatakan mereka tidak patriotik!

Mujurlah majoriti Bumiputera Sabah dan Sarawak masih kekal di negeri masing-masing. Jika tidak, mereka juga berhadapan risiko dianggap “pendatang” berdasarkan acuan yang dijadikan ukuran untuk membezakan antara “rakyat” dan “pendatang”.

Realiti yang menyedihkan di negara ini adalah bahawa sesiapa yang tidak termasuk dalam acuan budaya kaum tertentu dan/atau acuan agama tertentu secara automatik masih boleh dipertikaikan semangat patriotik mereka dan masih boleh dipanggil “pendatang”.

Dan tindakan tidak bermaruah seperti itu dianggap tidak bertentangan Perlembagaan Persekutuan. Malah, jangan lupa bahawa sehingga 24 Mac 2011, kaum India yang dilabel menggunakan gelaran tertentu dalam novel Interlok edisi murid (DBP: 2010) dianggap tidak menjadi masalah.

Di sisi lain, polemik mengenai konsep, makna dan agenda sebenar “Ketuanan Melayu” (sila bezakan dengan “Kedaulatan Melayu”) masih berlarutan dalam kalangan kaum Melayu di negara bertuah ini.

Sesiapa sahaja tentu berhak mempertikaikan hasil penelitian rambang yang saya paparkan di sini bahawa kaum Cina dan kaum India di Malaysia masih dilabel sebagai “pendatang” dan ‘bangsa asing”.

Pada masa sama, tentu sahaja mana-mana pihak yang mengakui kewujudan Tuhan tidak boleh menafikan realiti yang benar-benar wujud di depan mata berhubung perkara yang saya perkatakan.

Kita tidak memerlukan WikiLeaks untuk membantu membuka mata kita untuk melihat gajah di depan mata!

Uthaya Sankar SB tidak menolak kemungkinan dilabel sebagai “pendatang”, “pengkhianat” dan “mengancam keselamatan negara” berikutan keberaniannya mengeluarkan pandangan seperti ini. “Saya lebih rela mati di hujung pedang daripada mati kena tendang,” katanya di www.uthayasb.blogspot.com

No comments: