Ini merupakan manifestasi dari mentaliti tertekan dan kecemasan melampau lantaran sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada Anwar dan Pakatan Rakyat.
PETALING JAYA: PKR menyifatkan isu sumpah laknat (mubahalah) yang ditimbulkan sebenarnya adalah sebahagian daripada gerakan fitnah yang dilakukan oleh musuh-musuh politik Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim sejak 12 tahun yang lalu.
Ketua Penerangan parti itu, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, gerakan fitnah yang semakin menggila sekarang ini adalah manifestasi dari mentaliti tertekan dan kecemasan melampau.
“Ini berlaku lantaran sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada Anwar dan Pakatan Rakyat dewasa ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata isu sumpah laknat ini hendaklah diselesaikan mengikut prinsip dan kaedah syarak. Cara yang disarankan itu tidak menepati kaedah syarak yang sebenarnya.
“Sheikh Dr Yusuf al-Qardhawi, seorang ilmuan ternama dunia yang berautoriti dalam bidang syari’ah menjelaskan bahawa orang yang menuduh wajib mengemukakan bukti (empat orang saksi yang adil).
“Ini adalah ketetapan Allah yang tidak boleh dikompromikan dan orang yang tertuduh tidak dituntut untuk bersumpah kerana pada dasarnya setiap manusia itu bersih daripada sebarang tuduhan,” jelas beliau.
Ujar beliau, “jika semua kes jenayah mahu diselesaikan dengan amalan bersumpah, maka tidaklah perlu diwujudkan mahkamah, hakim ataupun polis.
“Semua pelaku jenayah boleh dengan sewenang-wenangnya melepaskan diri mereka dengan hanya melakukan sumpah. Akibatnya sistem kehidupan negara akan menjadi porak puranda,” terang beliau.
Namun begitu katanya, inilah yang dilakukan oleh mereka yang tergolong dari kalangan munafik.
Dr Muhammad Manuty memetik ayat 2, Surah Al-Munafiqun untuk menggambarkan sifat orang-orang munafik.
Sifat orang-orang munafik
Firman Allah bermaksud, “Mereka (orang-orang munafik) menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.
Beliau berkata, sifat orang-orang munafiq ini memang pandai berpura-pura, berlakon dan bijak berkata-kata.
“Namun begitu, mereka sentiasa dihimpit rasa cemas dan gelabah serta bersifat angkuh dan sombong. Ini jelas dinyatakan Allah di dalam ayat 3 – 5, Surah Al-Munafiqun yang bermaksud:
“Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong).
“(Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (batang buruk hampas dan kosong). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka.
“Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.”
Beliau berkata, “begitulah sifat orang-orang munafiq yang memang pandai berpura-pura, berlakon dan bijak berkata-kata dan kita harus sentiasa berwaspada dengan golongan ini.”
No comments:
Post a Comment