Bersih 2.0: PAS dakwa kerajaan ‘Takutkan Rakyat’

FMT Staff | June 20, 2011

Menurut Nasrudin taktik 'Takutkan Rakyat' ini dilihat satu ugutan untuk menafikan hak orang ramai untuk berhimpun.

PETALING JAYA: Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hasan Tantawi mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan taktik ‘Takutkan Rakyat’ bagi menghalang orang ramai menyertai himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Menurut Nasrudin taktik ‘Takutkan Rakyat’ ini dilihat satu ugutan untuk menafikan hak orang ramai untuk berhimpun.

Sedangkan Nasrudin berkata kerajaan perlu jelas bahawa himpunan Bersih adalah aman dan diambil daripada roh demokrasi yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.

“PAS bersama semua parti politik pembangkang serta NGO yang menganggotai gabungan Bersih, bersiap sedia untuk berhimpun secara aman tanpa senjata untuk menyerahkan memorandum khas kepada Yang Di-Pertuan Agong.

“Ia diambil daripada ruh demokrasi yang diperuntukkan dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia. Ini bermakna, perlembagaan yang dijunjung oleh seluruh rakyat Malaysia telah menjamin dan membenarkan hak yang diberikan kepada mereka. Oleh yang demikian, Bersih tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang.

“Selain daripada mensinonimkan himpunan aman dengan himpunan haram dan himpunan yang boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan, seolah-olah satu lagi teknik yang dicipta untuk menyekat himpunan aman iaitu teknik ‘Takutkan Rakyat’” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ujar Nasrudin, melalui pemerhatian yang dibuat PAS mendapati kedaulatan undang-undang dicemari disebabkan kerajaan disifatkan angkuh dan menggunakan kuasa fizikal untuk menekan rakyat.

Hak dinafikan

“Mereka cuba menafikan hak rakyat yang telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka, kedaulatan undang-undang tersebut telah dicemari. Malah, apa yang diamalkan oleh kerajaan adalah undang-undang rimba. Ingat, kerajaan yang angkuh dan menggunakan kuasa fizikal untuk menekan hak rakyat tidak akan selama-lamanya berkuasa.

Rakyat tidak boleh disekat kerana akal, budi dan jiwa mereka sebenarnya bebas,” katanya.

Menerusi pemerhatian PAS mendapati; pada 13 Jun 2011, Perkasa secara agresif akan turun ke jalan raya bagi membentuk satu kumpulan untuk bertembung dengan kumpulan Bersih. Ini bertujuan bagi meningkatkan sentimen tidak aman pada 9 Julai nanti.

Ini diikuti pada 15 Jun 2011, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar memberi amaran untuk tidak mengeluarkan permit termasuk membuat tangkapan awal sebagai langkah pencegahan dan 17 Jun 2011, Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) pula mencadangkan kepada pihak polis supaya mengambil tindakan yang lebih tegas dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada perancang himpunan aman Besrih 2.0.

“Pada 18 Jun 2011, Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Rais Yatim telah mengaitkan serangan siber atau godam terhadap laman web kerajaan bermotifkan politik dan mempunyai kaitan dengan Bersih.

“Malah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin pula telah cuba memiripkan himpunan aman Bersih 2.0 umpama himpunan rakyat yang dilakukan secara besar-besaran pada tahun 1998. Dia bermaksud himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini tidak mustahil boleh berlaku huru hara dan pelbagai ancaman provokasi.

“Pada 19 Jun 2011, Timbalan Perdana Menteri mendakwa himpunan Bersih 2.0 adalah himpunan untuk membangkitkan kemarahan rakyat seterusnya menjatuhkan kerajaan sah hari ini dan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) menuduh bahawa Bersih 2.0 tidak harus mencontohi perhimpunan rakyat di negara Asia Barat seperti Mesir, Syria dan Libya,” katanya.

No comments: