Aktivis mahasiswa merasakan tiada alasan untuk peserta BERSIH,
termasuk penuntut universiti yang dikehendaki polis bagi membantu
siasatan berhubung perhimpunan Sabtu lalu tampil menyerah diri,
Bekas presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Ab
Razab mempersoalkan arahan pihak berkuasa itu kerana gambar yang
disiarkan tidak memaparkan butir peribadi yang jelas.
“Kenapa perlu menyerah diri? Dikeluarkan 49 gambar yang tanpa nama,
dan nombor kad pengenalan dan kemudiannya disuruh menyerah. Kita lihat
ia tidak mempunyai basis yang kuat untuk polis memaksa mereka itu untuk
menyerah,” katanya yang juga anggota jawatankuasa pemandu BERSIH.
Ahmad Syukri yang kini bertugas sebagai koordinator NGO hak asasi
manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menegaskan polis perlu mengikut
prosedurnya, bukan mengeluarkan gambar “semberono” dan mengarahkan pihak
berkaitan ke balai.
“Polis sepatutnya mengikut prosedur yang sebenar dengan mengeluar
surat (panggilan) dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Bangsar
hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin hari ini yang menggesa 22 penuntut daripada 49 individu yang dikehendaki tampil membantu siasatan polis.
Sementara itu, Ahmad Syukri memaklumkan kumpulan mahasiswa akan
menyediakan khidmat guaman kepada rakan mereka sekiranya dituduh di
mahkamah.
‘Lagi mudah keluarkan gambar polis’
Turut hadir dalam sidang media itu, wakil Gabungan Mahasiswa Islam
Semenanjung, Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) dan Gerakan
Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema).
Ahmad Syukri turut mempersoal mengapa polis tidak mengeluarkan gambar
anggotanya yang didakwa mengganas dan tidak beretika pada perhimpunan
tersebut.
“Sebenarnya daripada 250,000 ribu demonstran, dia boleh keluarkan
(gambar) 49 orang, berbanding beberapa ratus polis yang bertugas hari
itu.
“Lagi mudah (polis) mengeluarkan gambar-gambar polis, yang bertindak
luar etika dan (supaya mereka) dihakimi secara adil,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga ahli jawatankuasa pemandu BERSIH
3.0, menggesa polis supaya mengikut prosedur siasatan yang sewajarnya
dan tidak bersikap berat sebelah berhubung isu tersebut.
Bagaimanapun, tidak lama selepas sidang media mereka, polis
menyiarkan gambar anggotanya yang memperlihatkan aksi kasar terhadap
peserta BERSIH.
Sementara itu, dalam sidang media sama, Koordinator GMPP R Karthiges
mengumumkan pihaknya kini sedang merangka pelan pendidikan percuma di
semua peringkat bersama pelbagai kumpulan mahasiswa dan parti politik.
“Hari ini kita dapatkan pandangan awal. Setiap kumpulan mahasiswa
diberikan dua minggu untuk mendapatkan kata sepakat sebelum pilihan raya
berlangsung,” katanya.
No comments:
Post a Comment