Hadiah MERDEKA: UMNO Perlu tegas tangani pencabul Perlembagaan

KOTA BHARU 30 Ogos - Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang terus mempertikaikan peruntukan Fasal 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Bahasa Melayu dan Hak Keistimewaan Orang Melayu.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Abd. Aziz Bari berkata, kerajaan sepatutnya memandang serius perkara itu dan segera menghentikan gejala yang membimbangkan ini.

Katanya, perkara itu tidak harus diberi ruang untuk dipertikaikan lagi kerana ia merupakan kunci kepada kestabilan negara yang telah dipersetujui dengan penuh muafakat sebelum mencapai kemerdekaan.

Beliau berpendapat, antara faktor keberanian pelbagai pihak yang mempertikaikan undang-undang tersebut adalah kerana kurangnya penguatkuasaan kerajaan terhadap pelaksanaan matlamat dan semangat kedua-dua fasa berkenaan.

"Sebenarnya keseluruhan Perlembagaan Persekutuan perlu diperkasakan dan bukannya hanya setakat Fasal 152, 153 sahaja kerana jika langkah konkrit tidak dilakukan, Perlembagaan kita akan jadi seperti perhiasan atau kosmetik sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Merdeka Pelaksanaan Undang-Undang Fasal 152, 153 dengan tema Memperkasakan Perlembagaan Negara anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di sini hari ini.

Forum yang dipengerusikan oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Mohamad Agus Yusof itu turut dihadiri oleh ahli panel lain iaitu Penasihat Undang-Undang Majlis Muafakat Melayu Malaysia, Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman dan peguam, Zainur Zakaria.

Majlis itu dirasmikan oleh Penaung MTRK, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dan turut dihadiri Presiden MTRK, Datuk Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Sementara itu, Abd. Aziz mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu badan atau jawatankuasa khusus di peringkat Pusat dan negeri bagi memperincikan pelaksanaan Fasal 153 yang dilihatnya agak tersasar daripada maksud dan matlamat sebenar undang-undang itu.

"Saya difahamkan pada masa ini tiada badan khusus sama ada peringkat kementerian atau negeri yang melaksanakannya dan ini adalah antara punca berlakunya keciciran di kalangan Melayu sendiri dan wujudnya pihak tertentu yang mempertikaikan intipatinya," katanya.

Bekas Pengerusi Malaysia Airlines System (MAS) itu berkata, hak Bahasa Melayu dan keistimewaan orang Melayu telah diiktiraf oleh British sebelum negara mencapai kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan dirangka lagi.

Malah, katanya, ia telah dipersetujui oleh semua pihak melalui kontrak sosial sebelum ini dan adalah tidak rasional apabila selepas 51 tahun negara mencapai kemerdekaan ia diungkit dan dipersoalkan.

Dalam pada itu, Zainur menyelar pemimpin Melayu beragama Islam yang sanggup menggadai maruah bangsa dan agama demi mencapai cita- cita politik.

Katanya, pemimpin ini kononnya akan mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia baru yang mempunyai kesamarataan tetapi tidak dijelaskan ciri-cirinya yang sebenar.

"Adakah kita mahukan sebuah masyarakat seperti Singapura atau masyarakat mempunyai pelbagai bahasa rasmi, agama Islam diletakkan pada kedudukan sama dengan agama lain, adakah kita sanggup terima semua ini.

"Melayu bukannya tuntut hak lain cuma kita pertahankan hak sedia ada yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan. Tetapi apabila kita perjuangkan hak ini seolah- olah seperti kita pula yang bersalah," katanya.

Mingguan Malaysia
31/08/08

No comments: