Majoriti lebih 15,000 Anwar kembali MP Permatang Pauh


MENANG... Datuk Seri Anwar Ibrahim dikerumuni penyokongnya selepas beliau menang dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh malam ini. Pada pukul 9.10 malam beliau meninggalkan Pusat Operasi Utama PKR di Yayasan Aman, menuju ke Pusat Penjumlahan Undi di Institut Perguruan Tuanku Bainun untuk mengetahui keputusan rasmi.

PERMATANG PAUH: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkempen menggunakan tema Merdekkan Rakyat dan moto "Ke Putrahaya Bermula di Permatang Pauh" - kembali muncul sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh - selepas 'berehat' selama 10 tahun dengan majoriti 15,671 undi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengatasi majoriti lebih 13,000 undi yang dicatatkan oleh isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan telah dipecat dari Umno dan kerajaan pada September 1998.

Minggu depan genap 10 tahun beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Selepas keputusan rasmi diumumkan, Pusat Operasi Utama PKR didendangkan dengan lagu "We Are The Champion".

Dalam keputusan rasmi diumumkan sebentar tadi, Anwar yang mewakili PKR memperoleh 31,195 undi manakala Datuk Arif Shah Omar Shah dari BN pula mendapat 15,524 undi dan AKIM menerima 92 undi.

Dalam reaksi segera, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengetuai jentera BN sepanjang pilihan raya kecil ini berkata, kemenangan Anwar membuktikan amalan demokrasi masih segar di negara ini.

Bahagian Permatang Pauh terdiri daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.

Kini ADUN Seberang Jaya merupakan Arif Shah manakala Penanti diwakili pemimpin PKR dan Permatang Pasir pula wakil PAS.

Di Seberang Jaya, Anwar memperoleh 11,084 undi, Arif Shah (6,345) dan Hanafi (36) manakala di Penanti menyumbangkan Anwar 8,054 undi, Arif Shah (4,229) dan Hanafi (27).

Di bahagian DUN Permatang Pasir, Anwar mendapat 12,034 undi, Arif Shah (4,381) dan Hanafi (26).

mStar Online difahamkan Anwar telah menang di kebanyakan daripada 28 daerah mengundi.

Keputusan penuh pilihan raya kecil ini diumumkan di Institut Perguruan Tuanku Bainun.

Bagaimanapun ahli-ahli dan penyokong-penyokong PKR khususnya Pakatan Rakyat telah meraikan kemenangan Anwar sejak pukul 6 petang tadi.

Keputusan tidak rasmi kemenangan Anwar telah diumumkan bermula pukul 6.30 petang tadi di Pusat Operasi Utama PKR di Yayasan Aman, Penanti di sini.

Anwar yang berada di Yayasan Aman sejak petang tadi meninggalkan premis ini ke Institut Perguruan Tuanku Bainun pukul 9.10 malam.

Permatang Pauh mempunyai 58,459 pemilih berdaftar - 69.49 peratus Melayu, Cina 24.56 peratus, India 5.79 peratus dan lain-lain 0.13 peratus.

Kira-kira 15 peratus pemilih merupakan mereka yang tinggal di luar Permatang Pauh.

Kali ini peratusan keluar mengundi ialah 81 peratus.

Pada pilihan raya umum Mac lalu, 82.06 peratus daripada 58,449 pengundi keluar mengundi.

Pada pilihan raya kecil ini, Arif Shah, 51, menghadapi tentangan Anwar, 61, dan calon AKIM, Hanafi, 61.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan Ahli Parlimennya, Presiden PKR, Dr. Wan Azizah pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding di kawasan itu.

Pada pilihan raya umum Mac lepas, Dr. Wan Azizah mengalahkan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,398 undi.

Parlimen Permatang Pauh dikuasai PKR sejak pilihan raya umum 1999 dan sebelum itu dimenangi Anwar atas tiket BN sejak 1982.

mstar
26/08/08
11.00 malam

No comments: