Gobalakrishnan dan Varatharaju dikenakan denda menyertai perhimpunan Hindraf di kuil Batu Caves, Gombak, dua tahun lepas.

SHAH ALAM, Dis 16 — Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan dikenakan denda RM1,000 atau tujuh minggu penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis dalam satu perhimpunan haram anjuran Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) di hadapan sebuah kuil di Batu Caves, Gombak, dua tahun lepas.

Hakim Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman itu selepas Gobalakrishnan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengaku bersalah terhadap kesalahan itu. Dia membayar denda.

Gobalakrishnan didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang telah menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas di Jalan Besar Batu Caves, di hadapan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, kira-kira pukul 3 pagi pada 25 Nov 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Fakta kes menyebut, pada hari kejadian, polis mendapati terdapat kira-kira 2,000 orang sedang berhimpun di hadapan pintu besar Kuil Sri Subramaniar dan ketika diminta bersurai, mereka yang berhimpun di hadapan kuil itu tidak mengendahkan arahan itu sambil meluru masuk ke kawasan kuil menggunakan pintu kuil yang telah dipecahkan.

Gobalakrishnan didapati berada di tempat kejadian dan merupakan sebahagian daripada kira-kira 2,000 orang yang menyertai perhimpunan itu. Dia juga telah menunjukkan kekerasan jenayah iaitu dengan mara ke hadapan dan bersorak-sorak sambil mengangkat tangan dalam jumlah yang ramai sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan pegawai-pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang.

Pihak polis telah mengarahkan mereka yang menyertai perhimpunan haram itu untuk bersurai tetapi Gobalakrishnan masih berada dalam perhimpunan haram itu walaupun mengetahui arahan bersurai telahpun diberikan.

Terdahulu, peguam G.K.Ganesan yang mewakilinya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan semasa kejadian Gobalakrishnan bukan seorang anggota Parlimen dan dia hanya dilantik sebagai anggota Parlimen pada 8 Mac tahun lepas.
Buy Apple® Computer Buy a new iMac, MacBook and more direct from Apple.


Di mahkamah yang sama, turut dikenakan denda RM1,000 ialah seorang mekanik, B Varatharaju, 34, yang mengaku bersalah melakukan kesalahan yang sama.

Gobalakrishnan dan Varatharaju merupakan antara 66 individu yang sebelum ini didakwa terlibat dalam perhimpunan haram anjuran Hindraf itu.

Sehingga kini, daripada 66 individu terbabit 57 daripada mereka telah menukar pengakuan kepada bersalah dan dikenakan denda antara RM750 dan RM850 manakala yang selebihnya masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan sedang dibicarakan.

Bernama
16/12/09

No comments: