Kes Nizar: Jamin menang jika di negara lain, Tommy Thomas

Saya menjamin kepada anda. Seandainya kes-kes negeri Perak ini dibicarakan di mahkamah enam buah negara ini, pihak kami (Nizar Jamaluddin) pasti menang! Saya jamin!"

Krisis perlembagaan Perak lantaran daripada rampasan kuasa telah menjadi perdebatan hangat pakar perlembagaan dan peguam antara kedua-dua pihak. Tommy Thomas (gambar kiri), pihak yang mewakili Pakatan Rakyat ketika berucap dalam satu forum anjuran MerdekaReview, menjelaskan bahawa Malaysia sebagai negara Komanwel yang mengamalkan common law, akan merujuk kepada kes penghakiman di Britain, Kanada, Australia, New Zealand, India, malah Eropah dan Afrika Selatan dalam perundangan.

Dengan penuh yakin Tommy Thomas menjamin kepada hadirin, "Saya menjamin kepada anda. Seandainya kes-kes negeri Perak ini dibicarakan di mahkamah enam buah negara ini (Britain, Kanada, Australia, New Zealand, India dan Eropah), pihak kami (Nizar Jamaluddin) pasti menang! Saya jamin!"

Dengan cepat beliau menyambung, "Sememangnya, sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah Zimbabwe, kami mesti kalah!" Hujahnya meledakkan dewan yang dipenuhi kira-kira 250 hadirin dengan gelak ketawa.

Forum "Ke arah mana Perlembagaan? Natijah dari Krisis Perak" (Whither the Constitution? Lessons to be learnt from the Perak Crisis), anjuran MerdekaReview, pada malam 9 Disember, telah membariskan Menteri Besar Negeri Perak Pakatan Rakyat, Mohd Nizar Jamaluddin dan Pakar Perlembagaan Shad Saleem Faruqi sebagai ahli panel.

Malah, Tommy Thomas menggantikan Kevin Tan (gambar kanan) pada saat-saat terakhir, apabila Kevin Tan gagal tampil sebagai panelis kerana polis mengenakan syarat terhadap pensyarah dari Singapura ini untuk mendapatkan Pas Ikhtisas sebelum hadir sebagai panelis.

Walaupun forum ini menyaksikan pandangan pakar perlembagaan dan peguam yang saling bercanggah dalm isu krisis Perak, namun mereka sebulat suara menyetujui bahawa bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengadakan pilihan raya adalah penyelesaian kepada krisis Perak.

Shad Saleem Faruqi: Angka yang menentukan

Shad Saleem Faruqi menekankan bahawa angka menjadi penentu dalam politik demokrasi. Oleh demikian, Sultan Azlan Shah telah menyetujui penubuhan kerajaan DAP, PKR dan PAS pada tahun 2008 kerana mempunyai 31 kerusi berbanding 28 daripada BN. Perkara yang sama berlaku apabila Sultan Azlan Shah memberi laluan kepada BN untuk menubuhkan kerajaan apabila BN memiliki 31 kerusi berbanding 28 oleh Pakatan Rakyat pada tahun 2009.

Shah Saleem Faruqi (gambar kiri) berkata, "apa yang menyesalkan, dalam perkara angka ini, PR telah tewas kepada ADUN yang melompat."

Namun, Shad Saleem Faruqi menyetujui bahawa antara penyelesaian yang menjadi pilihan Sultan Perak termasuklah pembubaran DUN, dan menyerah kepada rakyat untuk menentukan kerajaan mereka.

Walau bagaimanapun, Tommy Thomas mempunyai pandangan yang berbeza terhadap 13 isu dalam krisis Perak yang dibentangkan oleh Shad Saleem Faruqi.

Tommy Thomas berkata, dari segi angka, PR telah memenangi 53.8% undi, 31 kerusi dan memerintah dengan majoriti tiga kerusi selepas PRU ke-12. "Seandainya kamu masih ingat Kelantan yang diperintah PAS, mereka telah memerintah dengan hanya majoriti satu kerusi, tetapi berkekalan untuk lebih daripada satu tahun. Oleh itu, majoriti tiga kerusi adalah jarak yang sangat selesa," katanya.

Dengan kata lain, Tommy Thomas tidak bersetuju dengan pandangan Shad Saleem Faruqi bahawa kerajaan PR di Perak adalah pakatan pemerintah yang tidak stabil.

Shad Saleem Faruqi melontarkan pandangan bahawa DAP, PKR dan PAS bergabung secara tergesa-gesa selepas keputusan PRU ke-12 diumumkan, menjadikan kurang wajar untuk Sultan menyerahkan kuasa kepada PR berbanding dengan BN. Namun, Tommy Thomas menyanggah pandangan Shah Saleem Faruqi ini, menganggap bahawa tiada masalah untuk tiga parti PR bergabung hanya selepas PRU ke-12.

Secara terus terang, Tommy Thomas (gambar kanan) menyatakan bahawa situasi di mana gabungan parti untuk membentuk kerajaan selepas keputusan pilihan raya diumumkan adalah sesuatu yang lumrah, dan berlaku di negara misalnya Itali, Jepun dan India. "Jadi, untuk saya, siapa yang membentuk kerajaan gabungan selepas 8 Mac bukan masalah, kerana jawapannya ialah Pakatan Rakyat."

Pakar Perlembagaan Shad Saleem Faruqi telah merujuk kepada beberapa kes di luar negeri, misalnya krisis perlembagaan di Australia pada tahun 1975. Belanjawan yang dibentangkan oleh Presiden Australia ketika itu, Gough Whitlam tidak diluluskan di Dewan Senat, lantas berdepan dengan krisis kerajaannya digulingkan. Namun, Gough Whitlam merancang untuk meminjam wang dengan bank agar kerajaannya boleh terus beroperasi.

Governor-General Australia ketika itu, John Kerr telah melucutkan jawatan Gough Whitlam dengan menggunakan artikel ke-64 dalam Perlembagaan Australia, dan melantik pembangkang, John Malcom Fraser secara terus untuk menyandang jawatan Presiden sementara.

Shad Saleem Faruqi menggunakan contoh di atas untuk menyatakan bahawa Sultan Azlan Shah tidak semestinya perlu kembali ke DUN untuk mengetahui siapa yang telah memegang majoriti, sebelum menentukan Menteri Besar.

Tommy: Ini contoh yang buruk!

Sebaliknya, Tommy Thomas menuduh bahawa contoh yang dipetik oleh Shad Saleem Faruqi adalah contoh yang buruk, "John Kerr hanya mewakili Queen, dan Queen Elizabeth II ketika itu berasa serba salah dan langsung enggan mencampur tangan dalam isu ini, dilihat sebagai 'apa yang John Kerr lakukan tiada kena mengena dengan beta.'"

Apa yang lebih penting, Tommy Thomas berkata, "Saya boleh jamin, tiada Governor-General Australia selepas John Kerr yang mengulangi perbuatan John Kerr. Pengajaran daripada contoh ini adalah jangan belajar daripada John Kerr. Namun, jelas kami tidak belajar daripada pengajaran ini."

Peguam untuk speaker DUN Perak Pakatan Rakyat, V.Sivakumar ini bertanggapan bahawa apa yang berlaku di Perak adalah kudeta, "pertukaran kerajaan tanpa melalui pilihan raya dan pengundian adalah kudeta." Beliau menyifatkan bahawa rampasan kuasa di Perak adalah keadaan yang paling teruk sejak 52 tahun kemerdekaan dan amalan sistem raja berperlembagaan di negara kita.

Beliau menekankan, satu-satunya jalan penyelesaian krisis Perak adalah pembubaran DUN Perak, mengadakan pilihan raya dan menyerah kepada rakyat untuk mengundi kerajaan yang mereka mahu.

MR
16/12/09

No comments: