Orang ramai masih tertanya-tanya kenapa anggota Panel tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media selepas bermesyuarat.
PETALING JAYA: Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok sudah memulakan tugas yang diamanahkan dengan mengadakan mesyuarat pertama pada 16 Februari lalu.
Bagaimanapun, orang ramai masih tertanya-tanya kenapa kesemua anggota panel itu memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media mengenai perkara-perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat.
Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Uthaya Sankar SB yang juga salah seorang anggota panel bebas itu berkata, proses pindaan sedang dilakukan mengikut terma rujukan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.
“Saya tidak boleh mengulas lanjut kerana panel belum membuat sebarang keputusan,” katanya apabila dihubungi pagi tadi.
Uthaya dan Kavyan sebenarnya mempunyai banyak maklumat mengenai novel Interlok edisi 1996, 2003, 2005 dan 2010 berikutan kajian mendalam yang dilakukan sejak kontroversi Interlok edisi murid tercetus pada 15 Disember 2010.
Kavyan mengadakan taklimat khas di Shah Alam pada 16 Januari lalu untuk menjelaskan pelbagai perkara mengenai novel itu, manakala Uthaya menulis siri artikel di Free Malaysia Today dan di blog www.uthayasb.blogspot.com untuk menghuraikan banyak hal berkaitan kontroversi novel Interlok secara terperinci.
Sekiranya segala maklumat yang dibentangkan semasa taklimat Kavyan dan hal-hal yang disentuh dalam tulisan Uthaya diambil kira, tentu banyak perkara yang perlu dipinda dalam novel Interlok edisi murid.
Perkara-perkara yang perlu dimurnikan mengikut pendirian Kavyan bukan hanya perkataan “paria” dan “kasta” tetapi sekurang- kurangnya seratus perkara yang menyentuh sensitiviti kaum, menghina kaum India, kesilapan fakta dan kesalahan bahasa yang nyata.
Semasa Wacana Interlok di Universiti Malaya pada 26 Januari lalu, Uthaya menegaskan, “sekiranya masih ada bantahan terhadap cadangan supaya novel Interlok edisi murid dimurnikan (termasuk membetulkan segala kesalahan fakta berkaitan budaya kaum India dan agama Hindu), maka tidak ada pilihan lain selain meminta novel itu dikeluarkan terus daripada dijadikan teks Komsas”. Kenyataan itu turut dipaparkan di blognya pada 30 Januari lalu.
Adalah tidak keterlaluan untuk mengharapkan Uthaya terus berpegang pada pendirian itu selepas dilantik menjadi anggota panel bebas bersama-sama dua lagi wakil kaum India.
Dengan mengandaikan bahawa Uthaya, Profesor N S Rajendran dan G Krishnabahawan sependapat dalam proses memurnikan novel Interlok edisi murid, pasti banyak pindaan yang boleh diharapkan.
Kesalahan fakta
Berikut antara kesalahan fakta yang dinyatakan semasa taklimat Kavyan pada 16 Januari lalu di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam:
Halaman 211 – Watak Maniam bukan “paria” seperti digambarkan kerana dia berangkat ke Pulau Pinang menerusi Sistem Kemasukan Buruh Bebas yang melibatkan kos tinggi. Keluarga Maniam juga memiliki beberapa ekor lembu (halaman 214), selain sebuah rumah dan sebidang tanah (halaman 215).
Halaman 211 – Penari Kathakali tidak memakai topeng seperti digambarkan.
Halaman 211 – Malabari tidak terletak di utara Tamil Nadu seperti digambarkan.
Halaman 216 – Majoriti kaum India di Pulau Pinang pada sekitar tahun 1910 adalah orang Tamil, bukan Malayali seperti digambarkan.
Halaman 219 – Brahma merujuk kepada dewa dalam agama Hindu, bukan sistem kasta seperti digambarkan.
Halaman 226 – Daun pokok kelapa digunakan untuk membuat perhiasan, bukan buah kelapa seperti digambarkan.
Halaman 227 – Upacara perkahwinan agama Hindu tidak melibatkan penyembahan kaman (dewa cinta) dan dewa Palikai seperti digambarkan.
Halaman 228 – Mangala sutra disebut taali dan bukan tali (string) kerana kedua-duanya adalah objek yang amat berbeza.
Halaman 234 – Cara menghidangkan rasam dan sambar adalah salah sama sekali.
Halaman 235 – Wanita India tidak memanggil suami menggunakan namanya seperti digambarkan.
Halaman 236 – Anak-anak kaum India tidak memanggil bapa mereka sebagai “papa” seperti digambarkan.
Halaman 240 – Entah mengapa Perumal, seorang lelaki, yang membawa mas kahwin sedangkan Maniam berkahwin dengan Malini!
No comments:
Post a Comment