Tarif elektrik naik RM2.23sen

Jamilah Kamarudin | May 30, 2011

Ini berikutan peningkatan harga gas bagi sektor elektrik dan industri sebanyak RM3 yang juga berkuatkuasa lusa.

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini memutuskan untuk menaikkan kadar purata tarif elektrik sebanyak RM2.23 senkWj (7.12 peratus) berkuatkuasa 1 Jun depan.

Ini berikutan peningkatan harga gas bagi sektor elektrik dan industri sebanyak RM3 yang juga berkuatkuasa lusa.

Sehubungan itu, tarif elektrik akan dinaikkan daripada kadar purata semasa RM31.31senkWj kepada 33.54senkWj, satu kadar baru selepas kali terakhir ditetapkan pada tahun 2006.

Perkara ini dimumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Peter Chin Fah Kui dipejabatnya di sini hari ini.

Namun begitu, kerajaan memutuskan kenaikan ini tidak akan melibatkan 1.1 juta pengguna domestik (19.1 peratus) yang menggunakan elektrik antara 201 hingga 300kWj sebulan (kekal pada kadar unit 33.40sen/kWj).

“Ini bermakna 75 peratus atau 4.4 juta daripada 5.94 juta pengguna domestik tidak akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan selagi mereka mengekalkan penggunaan elektrik pada kadar 300kWj (kira-kira RM77) sebulan atau kurang.

“Manakala penggunaan antara 301 sehingga 1000kWj sebulan yang melibatkan 1.39 juta pengguna atau 23.5 peratus daripada pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil elektrik di antara RM0.07 hingga RM30.30 (0.1 peratus hingga 10 peratus),” katanya dalam sidang media petang tadi.

Sementara itu bagi pengguna domestik yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, Chin berkata kerajaan akan terus membantu dengan memberikan bekalan elektrik secara percuma kepada penggunaan yang bil elektrik berjumlah RM20 dan ke bawah sehingga 31 Disember depan.

“Kerajaan dijangka menanggung kos sebanyak RM122 juta setahun bagi membiayai pemberian bekalan elektrik percuma kepada 900,000 pengguna di Semenanjung,” katanya.

Chin turut mengumumkan bagi pengguna komersial voltan rendah seperti peruncit, pekedai dan pengusaha restoran kecil yang penggunaannya tidak melebihi 200kWj sebulan, kadar kenaikan maksimum adalah sebanyak RM4.60 sebulan (6.2 peratus).

Manakala pengguna industri voltan rendah seperti pengusaha industri memproses makanan secara kecil-kecilan yang menggunakan elektrik kurang daripada 200kWj sebulan pula akan mengalami kenaikan tarif maksimum sebanyak RM4.00 sebulan (6.2 peratus).

Sementara itu, Chin menegaskan kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang bantuan kewangan sebanyak RM19 bilion dalam bentuk subsidi gas kepada pihak IPP bagi mengaut keuntungan berlebihan seperti yang didakwa pihak tertentu.

“Subsidi gas” yang dimaksudkan tersebut adalah jumlah hasil yang dilepaskan oleh pihak Petronas selaras dengan keputusan kerajaan untuk menetapkan harga gas kepada sektor penjanaan elektrik.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa pelarasan kadar tariff ini tidak akan memberikan sebarang subsidi kepada pihak IPP dan dengan itu ia tidak sepatutnya dipolitikkan dengan apa jua cara untuk memesongkan orang ramai,” katanya.

No comments: