Ahli Parlimen Sabah minta KJ segera selesaikan masalah kekurangan vaksin


KOTA KINABALU: Seorang Ahli Parlimen Sabah berharap menteri kesihatan yang baharu dilantik, Khairy Jamaluddin akan menjadi individu yang akan menyelesaikan masalah penghantaran vaksin tidak konsisten dan menangani kekurangan sumber kesihatan di negeri ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin daripada DAP, turut menyatakan Khairy perlu kekal bertanggungjawab ke atas proses vaksinasi, susulan keputusan kerajaan meletakkan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) di bawah kawal selia kementerian kesihatan.

Khairy sebelum ini turut bertanggungjawab ke atas bekalan vaksin dan koordinasi program imunisasi.

“Menerusi pelantikan Khairy sebagai menteri kesihatan, saya berharap beliau akan menyelesaikan masalah kekurangan vaksin yang teruk selain mempercepat kadar vaksinasi di Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Chan berkata walaupun secara perbandingan Khairy dilihat melaksanakan tugas dengan baik berbanding rakan sejawatnya dalam Kabinet persekutuan terdahulu, masalah penghantaran vaksin ke Sabah tetap berlaku.

Katanya, beliau menerima banyak rungutan berhubung kekurangan vaksin daripada penduduk diwakilinya yang sedang menunggu janji temu dos kedua Pfizer di pusat vaksinasi, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.

“Mereka diarahkan pulang dan dimaklumkan semua janji temu bagi pengambilan dos kedua dijadualkan semula selepas 3 September ini.

“Difahamkan, situasi berkenaan berlaku berikutan berlaku gangguan penghantaran bekalan vaksin atau bekalan vaksin tidak mencukupi,” katanya.

Chan turut mempersoalkan penjadualan semula janji temu bagi individu terkesan yang tidak dikemaskini dalam aplikasi MySejahtera.

“Sebaliknya, mengapa SICC mengarahkan individu hadir pulang begitu sahaja?

“Lebih buruk, sekiranya benar semua janji temu bagi pengambilan dua dos dijadualkan semula, mengapa sesetengah individu masih menerima mesej peringatan untuk hadir ke janji temu,” katanya sambil mendakwa berlakunya banyak kekeliruan.

Susulan itu, beliau menggesa Khairy memberi perhatian terhadap isu vaksin di Sabah kerana situasi wabak di negeri terbabit semakin teruk dengan merekodkan kadar harian maut tertinggi, 41 kematian, semalam.

Katanya, sumber sedia ada di negeri ini tidak dapat menangani peningkatan mendadak kes jangkitan, selain kadar penggunaan katil akibat Covid-19 sudah mencapai 99%.

Awal hari ini, jurucakap harian berkaitan Covid-19 Sabah, Masidi Manjun, berkata sehingga kini, sejumlah 1,414,020 dos vaksin jenis Pfizer, Sinovac dan CanSino sudah diterima negeri ini.

Katanya, baki 99,400 dos lagi membabitkan vaksin Pfizer dijangka tiba daripada Kuching dalam tempoh beberapa hari lagi.

FMT

No comments: