KUALA LUMPUR – Pengumuman senarai anggota Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak menggembirakan banyak pihak yang mengharapkan sekurang-kurangnya ada beberapa muka baharu.
Ini dinyatakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan Kabinet baharu itu sebagai barisan yang hampir sama seperti kerajaan gagal sebelum ini.
“Kabinet ini telah mengecewakan banyak pihak yang mengharapkan beberapa muka baharu untuk mencari jalan penyelesaian terhadap pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi sekarang.
“Kembalinya Kabinet yang dikitar semula daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini akan memberi keraguan terhadap komitmen Perdana Menteri baharu untuk memenangi pertempuran melawan Covid-19 dan krisis ekonomi.
“Ini juga akan meningkatkan penelitian terhadap adakah Ismail Sabri benar-benar ikhlas mahu melakukan reformasi institusi untuk melindungi hak demokratik dan perlembagaan kita seperti dinyatakan semasa pertemuan bersama tiga pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) dua hari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri mengumumkan pembentukan Kabinet dengan keseluruhan mengekalkan muka lama, kecuali beberapa muka baharu yang pernah menjadi menteri sebelum ini.
Menurut Guan Eng, semua orang tahu masalah lonjakan semasa Covid-19 yang mencatat 24,599 kes dan 393 kematian semalam.
Katanya, jumlah kumulatif 1,640,843 kes dan 15,211 kematian walaupun terdapat sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Proklamasi Darurat harus ditangani.
“Kerajaan sekarang perlu menghentikan kegagalan sebelum ini dari segi amalan dua darjat dalam penguatkuasaan, dasar yang berubah-ubah, pusingan-U dalam SOP dan kelewatan pelaksanaan vaksinasi, melaksanakan program ujian yang menyeluruh dan saringan massa.
“Adalah penting bagi kita untuk tidak melupakan pengajaran lalu agar tidak mengulangi kegagalan Perdana Menteri sebelum ini.
“Kabinet kitar semula ini menimbulkan keraguan sama ada terdapat penyelesaian baru untuk krisis pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi sekarang serta ruang yang cukup bagi reformasi institusi yang progresif,” katanya.
MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment