Pendidikan sepatutnya diberikan tumpuan demi memastikan masa depan negara yang lebih baik. Solusi dan kehidupan pasca wabak perlu dipulihkan dengan intervensi dan perancangan strategik dari sekarang. Malah apa yang lebih mencabar lagi ialah pendidikan pasca-pandemik COVID-19 yang rakyat perlukan. Rakyat menanti satu pelan besar (master plan) dan perancangan jangkamasa panjang yang strategik, mapan dan telus untuk pendidikan selepas pandemik berakhir. Pelan Pendidikan pasca pandemik ini mestilah bersifat holistik dan komprehensif dengan mengambil kira keperluan untuk melakukan “Great Reset” untuk pendidikan dan kurikulum demi masa depan rakyat dan negara.
Pernyataan polisi ini adalah secebis usaha ringkas yang sempat saya coretkan hasil libaturus dengan pakar-pakar kesihatan, pendidikan dan juga ahli masyarakat yang cakna dan prihatin terhadap masa depan Pendidikan negara. Ia merupakan himpunan beberapa artikel, ucapan perbahasan dan kenyataan-kenyataan media yang pernah saya keluarkan, samada secara sendirian mahupun bersama rakan-rakan dari blok pembangkang di parlimen, dan juga bersama Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan.
Penyataan Polisi ini dibahagikan kepada dua bab: Bab pertama ialah berkaitan isu-isu Pendidikan yang timbul sewaktu wabak melanda dan syor jalan keluar bagi semua masalah tersebut. Kita bukan sekadar mengemukakan masalah tetapi juga memberikan jalan penyelesaian; Bab kedua pula ialah pembentangan pelan pemulihan jangkamasa panjang untuk isu pendidikan dengan mengemukakan solusi yang tuntas demi menghadapi dunia IR 4.0 yang lebih mencabar dan juga dunia pasca COVID-19 yang memerlukan pendekatan luar biasa dan bukan konvensional.
Bagi bab pertama, sebanyak 14 isu utama ditimbulkan: Mukadimah, PdPR, Penutupan dan Pembukaan Sekolah, Lost Generation, Vaksin, TV Pendidikan, Radio Pendidikan, Insentif Guru, Kempen Membaca, Pendidikan Sebagai Proses Holistik Sewaktu Wabak Melanda, Alternatif Kepada Pemansuhan UPSR, Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan dan Pengajian Tinggi.
Di dalam bab kedua pula, sebanyak 12 isu dibawakan sebagai pelan cadangan jangkamasa panjang untuk Pendidikan: Laporan JKDPN, Model Sistem Pendidikan Baharu (New education Model), JK Dataraya, Program Sarapan Pagi, Pendidikan Kalis Masa Hadapan, Hyperscale Public Cloud Computing (Komputer Awan Awam Berskala) dan Pendidikan, Majlis Pendidikan Tinggi Kebangsaan, Amalan Revolusi Perindustrian 4.0 Secara Imersif di Pendidikan Tinggi, Guru Berkemimpinan, Isu Integriti di IPT, Siswa Teknoperneur dan TVET 4.0 Pasca COVID-19.
Besar harapan saya agar apa yang diutarakan di dalam pernyataan polisi ini dapat dilaksanakan sebagai pelan jalan keluar dari kemelut Pendidikan sewaktu wabak COVID-19 melanda, dan pelan jangkamasa Panjang untuk memperbaiki sistem Pendidikan yang ada.
Pendidikan adalah masa depan, Pendidikan adalah nyawa kepada sesebuah negara.
No comments:
Post a Comment