Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sokongan ahli-ahli Parlimen Bersatu kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu dilakukan demi menjamin masa depan negara yang lebih baik.
“Perjumpaan tadi perjumpaan keluarga, untuk menjelaskan beberapa perkara. Apabila isu ini timbul kita hanya nak memaklumkan sahaja bagaimana peristiwa kemelut politik dalam negara.
“Itu sahaja kami lakukan demi masa depan apabila kita bersama Perdana Menteri baharu ini yang mendapat sokongan daripada kami dan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada pemberita di lobi Hotel Premiera malam ini.
Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas MPT Bersatu hampir dua jam di Hotel Premiera, di sini, sejak jam 9 malam tadi.
Bagaimanapun kira-kira jam 11.07 malam, Muhyiddin kelihatan mula beredar dari lobi hotel berkenaan dan enggan mengulas pertanyaan media berhubung mesyuarat MPT Bersatu yang dipengerusikannya.
Terdahulu bekas Perdana Menteri itu tiba di lobi Hotel Premiera kira-kira jam 8.47 malam bagi mempengerusikan mesyuarat MPT Bersatu.
Muhyiddin yang mengenakan baju batik berwarna merah disambut oleh pimpinan Tertinggi MPT Bersatu.
Antaranya Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Turut hadir dalam mesyuarat pada malam ini ialah Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Mohd Rafiq Naizamohideen.
No comments:
Post a Comment