Polis hanya benarkan media berada di luar pekarangan Istana Negara


KUALA LUMPUR – Istana Negara terus menjadi tumpuan pengamal media susulan kemelut politik yang masih belum berkesudahan.

Sejak pukul 7.30 pagi lagi beberapa pengamal media sudah berkumpul di pekarangan Pintu 1, Istana Negara bagi melaporkan perkembangan terkini apa yang akan berlaku hari ini.

Pekarangan luar Istana Negara dipasang pita kuning larangan melintas oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal pergerakan orang awam terutama media yang berada di sini.

Ketika ini polis hanya membenarkan petugas media berada di luar pekarangan Istana Negara dengan setiap daripada mereka diperiksa kad perakuan media sebagai pengesahan.

Hari ini Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan pertemuan khas dengan Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri dan kerajaan.

Semalam, seramai Ahli Parlimen daripada beberapa parti dipanggil menghadap Seri Paduka Baginda untuk mengesahkan akuan bersumpah (SD) mereka terhadap calon Perdana Menteri.

Ahli Parlimen parti yang dipanggil seperti UMNO, Barisan Nasional, GPS, Pas dan Bersatu telah mengemukakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri yang kesembilan.

Setakat ini, tiada laporan yang mengesahkan gabungan Pakatan Harapan Plus yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dipanggil menghadap Agong.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selesai mengumpul akuan sumpah (SD) daripada 220 Ahli Dewan Rakyat semalam, untuk mendapatkan jumlah sokongan mereka bagi pemilihan calon Perdana Menteri kesembilan.

Masing-masing menyatakan sokongan kepada dua nama yang dicalonkan, iaitu Ismail Sabri daripada Barisan Nasional (BN) dan Anwar daripada Pakatan Harapan (PH). 

MalaysiaGazette

No comments: