Sarawak tuntut jawatan TPM daripada Ismail Sabri

 Baru sahaja Datuk Seri Ismail Sabri diperkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berharap jawatan Timbalan Perdana Menteri baharu kerajaan Pusat diberikan kepada pemimpin dari Sabah dan Sarawak.

Menurut Presidennya Datuk Dr Jeffrey Kitingan, keutamaan harus diberikan khususnya kepada pemimpin dari Sarawak kerana negeri itu banyak menyumbang jumlah sokongan pencalonan Perdana Menteri kepada Naib Presiden Umno itu.

“Memang wajar jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada pemimpin dari kedua-dua negeri sebagai penghargaan kepada sokongan mereka dan saranan itu patut mendapat pertimbangan.

“Ya. Kenapa tidak. Sarawak paling banyak menyumbang sokongan kepada pemilihan Perdana Menteri. Jadi, kita harap perkara ini diberikan pertimbangan yang sewajarnya,” katanya dipetik Bharian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan jawatan Timbalan Perdana Menteri diberi keutamaan kepada pemimpin dari Sabah dan Sarawak dalam Kabinet baharu kerajaan Persekutuan yang dijangka dibentuk tidak lama lagi.

“Soal siapa calon Timbalan Perdana Menteri itu bukan satu masalah bagi saya kerana yang penting ialah jawatan itu diberikan kepada pemimpin dari sini (Sabah Sarawak). Tetapi yang pastinya ialah dari Sarawak,” katanya kepada pemberita setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Kuala Lumpur, hari ini.

sumber: malaysiadateline

No comments: