Tidak timbul isu kerajaan perpaduan

 SUNGAI PETANI: Kerjasama rentas parti yang dicadangkan bukan bermaksud membentuk kerajaan perpaduan seperti digembar-gembur sesetengah pihak, tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, pemimpin pembangkang, sebaliknya, dipelawa untuk membantu kerajaan dengan menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19."Tidak ada kerajaan perpaduan yang melibatkan pembangkang dalam Kabinet, tetapi kerjasama itu bukan semestinya pembangkang berada dalam Kabinet.
"Kalau nak bantu tangani COVID-19, kita ada Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19, boleh bersama dalam jawatankuasa ini.
"Kalau nak selesai isu ekonomi, mereka boleh bersama dalam Majlis Pemulihan Negara, saya jemput mereka berada bersama," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan lawatan kerja rasmi pertamanya ke daerah Kuala Muda dan Yan, di sini, pada Isnin.
Dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Ahad, Ismail Sabri menawarkan ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.
Sebelum ini, desas-desus kerajaan perpaduan timbul selepas kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin berakhir susulan peletakan jawatan beliau.
Beberapa penganalisis politik berpendapat, wajar untuk sebuah kerajaan perpaduan ditubuhkan ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi.
Ismail Sabri, 61, dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli-ahli Dewan Rakyat.
Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh tumbang selepas 15 Ahli Parlimen UMNO mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.
Sehubungan itu, pada 17 Ogos lepas, Speaker Dewan Rakyat telah mengutuskan surat kepada kesemua 220 Ahli Parlimen, memaklumkan titah Tuanku Agong bahawa mereka semua perlu mengemukakan surat akuan bersumpah (SD) bagi memilih seorang calon Perdana Menteri.
Pada 19 Ogos, 114 Ahli Parlimen yang menzahirkan sokongan mereka kepada Ismail Sabri, telah dititahkan untuk menghadap Agong di Istana Negara bagi mengesahkan pilihan mereka.

No comments: