ROBOH...Inilah Rumah PPRT yang dibina FELCRA runtuh menyembah bumi.
Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
AMARAN Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raime Unggi bahawa
FELCRA seharusnya menumpukan aktiviti perladangan dan tidak sewajarnya
terlibat dalam bidang kejuruteraan dan binaan ternyata benar apabila
sebuah lagi rumah PPRT yang dibina FELCA di Kampung Air Sandakan pada
2011 menyembah bumi awal pagi kelmarin.
Projek pembinaan 18 buah rumah PPRT di kampung tersebut di bawah seliaan
FELCRA yangdianggarkan menelan kos RM810,000 atau RM45,000 seunit baru
sahaja didiami selama enam bulan oleh mangsa, Rajimah Latif bersama 13
ahli keluarganya tiba-tiba runtuh secara mengejut.
Pengerusi JKKK Kampung Air, Jafar Mustafah yang ditemui Sabahkini. Net
di tempat tragedi kira-kira jam 9.00 pagi kelmarin antara lain
menjelaskan pembinaan rumah-rumah PPRT yang ada di kawasan lingkungan
Kampung Air dikhuatiri tidak selamat kerana tidak mengikut spesifikasi
yang telah ditetapkan.
"Disebabkan kedudukan tapak rumah-rumah tersebut dan strukturnya tidak
kukuh (tegap); maka telah menyebabkan rumah berkenaan mudah runtuh.
Mujurlah tiada kemalangan jiwa berlaku," kata Jafar yang menyetujui
saranan Raime Unggi FELCRA jangan laksanakan projek cuba-cuba di Sabah.
Katanya lagi, ADUN Karamunting yang juga Menteri Belia dan Sukan Negeri
Datuk Peter Pang sebelum ini sudahpun mengarahkan FELCRA agar
mengarahkan kontraktor yang membina projek PPRT tersebut memantau dan
mengenal pasti mengenai kedudukan rumah-rumah tersebut dan segala
kecacatan dibaik pulih segera sebelum kejadian yang tidak diingin
berlaku.
WAWANCARA...Hj Hamsan sedang ditemubual Sabahkini.Net mengenai tragedi tersebut.
BANTUAN...Jason Tan wakil ADUN Karamunting menghulur sumbangan wang tunai kepada mangsa tragedi, Rajimah untuk meringan beban.
Namun demikian, tambah Jafar, keengganan FELCRA mendengar nasihat dan
pandangan ADUN berkenaan telah menyebabkan insiden yang nyaris-nyaris
meragut nyawa penduduk berlaku.
Menurut Jafar, semasa kejadian tersebut mangsa sedang tidur nyenyak dan
harta benda mereka habis rosak ditenggelami air masin dan tafsiran
kerugian belum dipastikan kerana masih dalam siasatan Jabatan Kebajikan
Perkhidmatan Kebajikan Am.
Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Haji Mohd
Hamsan Hj Ag Supain yang turut meninjau tragedi tersebut melahirkan rasa
simpati terhadap Rajimah bersama 13 keluarganya yang ditimpa
kecelakaan.
Sebagai Pengerusi Badan Dakwah Majlis Perbandaran Sandakan, pihaknya
akan memberi sumbangan berupa wang tunai kepada mangsa tersebut untuk
meringankan sedikit beban yang terpaksa ditanggung akibat kecuaian
FELCRA.
Katanya lagi, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am sudahpun dimaklumkan
mengenai tragedi ini dan pihaknya akan memberi bantuan segera berupa
makanan dan peralatan dapur.
“Memandangkan mereka sudah tidak ada tempat tinggal, maka sementara
waktu ini mereka ditempatkan di Balai Raya berhampiran untuk menunggu
rumah mereka dibina semula oleh kontraktor.
Turut hadir di tempat tragedi berkenaan ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat
(UPKR) Karamunting, Jeffry Chong dan Setiausaha Politik kepada Menteri
Belia dan Sukan Jason Tan sebagai wakil Peter Pang yangkini tidak
berada di Sandakan.
Jason yang simpati terhadap insiden tersebut turut menghulur derma berupa wang tunai kepada mangsa berkenaan.
Dalam pada itu, beberapa orang penghuni rumah-rumah PPRT yang yang
enggan namanya disebut mengadu kepada Sabahkini.Net ramai di kalangan
mereka tidak puas hati dengan keadaan rumah-rumah PPRT yang dibina di
kampung tersebut kerana strukturnya tidak kukuh; apatah lagi hanya
menggunakantiang yang berukuran 3 inci X 3 inci sahaja.
No comments:
Post a Comment